KUALA TERENGGANU – Satu laporan polis dibuat oleh Pemuda Pas Terengganu terhadap Siti Kassim dan David Orok berhubung dakwaan menghina ibadah korban.

Timbalan ketuanya, Hishammuddin Abdul Karim berkata, kedua-duanya jelas dilihat membangkitkan unsur penghinaan bukan hanya terhadap ibadah korban malah terhadap Nabi Ibrahim dan juga Nabi Ismail melalui status yang dimuat naik melalui Facebook.

“Ekoran daripada ‘posting’ yang telah dibuat oleh kedua-dua individu tersebut, kami anak-anak muda Pas merasakan tidak sewajarnya kita mendiamkan diri tanpa melakukan sebarang tindakan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu, di sini, kelmarin.

Turut hadir Ketua Pemuda Pas Terengganu, Kamaruzaman Abdullah, Ketua Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu, Azrin Aris dan Ketua Pemuda Pas Kemaman, Ramlan Mahmood.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Ketua Penerangan Pemuda Pas berkata, pihaknya turut memberikan pautan Facebook berhubung penghinaan terbabit kepada polis supaya siasatan lanjut dan tindakan tegas terhadap kedua-dua individu tersebut dibuat.

Jelasnya, sehingga kelmarin, pautan mengenainya masih belum dipadamkan dan pihaknya berharap pihak polis mengesan bagi memastikan kesahihan maklumat supaya tindakan segera boleh diambil.

“Kita harap supaya pihak berkuasa mengambil satu sikap yang serius bukan hanya menerima laporan tapi membuat satu tindakan yang tegas menyiasat dan memanggil individu tersebut bagi mendapatkan penjelasan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengarahkan Pemuda Pas di negeri-negeri lain membuat laporan berhubung isu sama.

Jelasnya, hanya Pemuda Pas Kedah sahaja menangguhkan laporan sebagai menghormati kemangkatan Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat pada 11 September lalu.

Dalam masa sama, Hishammuddin turut menggesa semua pihak mengambil peranan terhadap cubaan menghina agama Islam termasuk dari institusi agama seperti jabatan agama Islam negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan isu-isu sedemikian tidak berulang pada masa depan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Seorang individu berjawatan dalam Armada Negeri Sembilan didakwa melakukan pecah amanah terhadap perniagaan yang diusahakan bersama rakan kongsinya sejak dua tahun lalu.
  • ALOR SETAR - Mangsa yang didakwa diperdaya penganjur ekspo kerjaya Sabtu lalu, tampil membuat laporan polis agar perkara seumpama tidak berulang.
  • KUANTAN - Keluarga kanak-kanak yang cedera akibat terkena sup tomyam panas sehingga menyebabkan tengkuknya melecur malam semalam akan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
  • SEREMBAN - Sebanyak 10 NGO menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap seorang individu susulan kenyataan berhubung kejadian kebakaran Pasar Besar Seremban dalam laman sosial 'Facebook' miliknya yang berbaur fitnah
  • CAMERON HIGHLANDS - Pas Kawasan Cameron Highlands membuat laporan polis selepas kesal dengan kenyataan jelik membabitkan ibadah korban oleh peguam aktivis, Siti Zabedah Kassim dan seorang pemimpin Parti Reformasi Sabah (STAR), David Orok.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.