KUALA TERENGGANU - Masyarakat diminta menghidupkan kembali tradisi lama menyambut Hari Raya Aidilfitri seiring perubahan zaman supaya budaya itu tidak pupus ditelan perkembangan teknologi.

Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu, Zahari Mat berkata, peningkatan kemajuan digital menyebabkan beberapa tradisi lama semakin dilupakan dan diganti dengan budaya baharu.

Antaranya adalah kiriman kad ucapan raya kepada ahli keluarga dan kenalan seolah-olah dilupakan sebaliknya masyarakat kini lebih gemar menghantar ucapan melalui WhatsApp dan laman sosial seperti Facebook serta Instagram.

“Sekarang susah nak dapat kad raya sedangkan kad ini lebih memberi nilai kerana kita, boleh simpan sebagai kenangan. Kalau digital seperti WhatsApp, lepas dapat kita 'delete' (padam), tak boleh simpan lama-lama nanti memori penuh,” katanya.

Menurut Zahari, adat menziarahi orang tua, saudara mara dan guru juga makin terhakis kerana masyarakat hari ini lebih senang menonton televisyen di rumah selain faktor peningkatan kos dan kesesakan lalu lintas.

Justeru itu, beliau menggalakkan orang ramai membudayakan kembali adat itu bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama sendiri apatah lagi dengan kesibukan kerja di hari-hari biasa.

“Inilah masanya untuk kita berjumpa bertanya khabar. Jangan asyik dengan televisyen, filem dan gajet.

“Dari segi kos pula, kita faham semua benda makin mahal. Jadi lebih elok jika kita berkongsi kereta, kongsi duit minyak dan cara ini juga dapat minimumkan jumlah kereta sekali gus kurangkan kesesakan,” katanya.

Beliau berkata, amalan menziarahi kubur selepas solat sunat Aidilfitri juga kini tidak lagi dipraktikkan khususnya bagi golongan muda sedangkan ia amalan baik.

Katanya, mengamalkan tradisi lama bukan bermaksud netizen perlu menolak perubahan namun budaya tradisional sepatutnya dikekalkan kerana ia lambang kepada masyarakat Melayu itu sendiri.

“Tradisi berkumpul beramai-ramai tanpa gangguan gajet, saling bermaafan secara nyata, gotong-royong menyediakan ketupat rendang, saling berkunjung-kunjungan antara satu sama lain menjadikan suasana hari raya itu lebih meriah.

“Kanak-kanak pun boleh rasa tradisi ini, tidaklah mereka fikir raya hanya cuti, layan wayang, makan ketupat dan jumpa kawan-kawan. Ia sebenarnya lebih daripada itu,” katanya.

Zahari turut menegur sikap masyarakat hari ini yang gemar menggayakan pelbagai fesyen pakaian raya yang dilihat kurang menepati syariat Islam semata-mata mahu dilihat bergaya di pagi Syawal.

“Tidak salah bergaya tapi janganlah pakaian terlampau ketat dan kurang sopan dek kerana terlampau berinovasi dalam fesyen,” katanya.