PAKA – Berdindingkan papan terbuang dan beratap zink bocor, seorang ibu tunggal dua anak terpaksa melalui kehidupan dalam serba kekurangan.

Dua tahun tinggal di bangsal usang tanpa sebarang kemudahan air dan elektrik sudah menjadi kebiasaan buat Siti Azma Mohd Zain, 34, yang kini menyara kehidupan dengan berharap ihsan jiran dan ibunya yang tinggal berdekatan.

Bagi Siti Azma, dia amat mengharapkan ihsan pihak berkaitan menyediakan tempat tinggal lebih selesa bagi dia dan dua anaknya berusia antara 13 hingga 18 tahun.

Namun, harapan tinggi menggunung sejak bertahun lamanya itu hanya tinggal angan-angan apabila permohonannya mendapatkan rumah dikatakan dinafikan pihak berkenaan.

Siti Azma berkata, sebagai ibu tunggal yang hidup susah, dia tidak tahu di mana lagi hendak mengadu selepas gagal mendapat sebarang bantuan daripada pihak berwajib.

“Kadang-kadang hidup saya benar-benar terhimpit, pernah kami terputus beras hampir seminggu.

“Anak-anak terpaksa menahan lapar, ada duit sedikit, kami beli sebungkus mee segera dan kongsi anak beranak,” katanya.

Anak terpaksa berhenti sekolah

Menurut Siti Azma, kehidupannya kian terhimpit sejak suaminya Amran Bulian, 36, menemui ajal selepas terbabit dalam satu kemalangan di Al Muktafi Billah Shah beberapa tahun lalu.

Katanya, untuk menyara kehidupan, dia terpaksa melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi pengasuh kepada dua kanak-kanak dengan pendapatan tidak sampai RM400 sebulan.

Siti Azma berkata, dengan duit itulah dia membeli pelbagai barangan keperluan harian termasuk beras untuk dijadikan makanannya sekeluarga.

Katanya, akibat kemiskinan hidup, dua anaknya, Zulfamie Amran, 18, dan Zulaikha, 13, terpaksa berhenti sekolah.

Katanya, sebagai ibu, dia amat berat melihat anaknya keciciran dalam pelajaran tetapi dia akur dengan nasib yang menimpanya.

“Saya sedih apabila melihat anak kami sudah menjadi anak yatim terpaksa berhenti sekolah dan mencari pekerjaan bagi menyara kehidupan sendiri. Ibu mana yang sanggup lihat anak mereka tidak ada pelajaran, namun apakan daya, saya tidak berkemampuan,” katanya.

Rumah digenangi air setiap kali hujan

Menurut Azma, kadang-kadang dia tidak sanggup lagi tinggal di rumah yang sempit dan tiada kemudahan asas itu. Malah, rumahnya pasti digenangi air setiap kali hujan kerana atap zink bocor.

Dinding rumah pula dibuat daripada papan lapis terbuang dan keadaannya tidak selamat untuk diduduki kerana terdedah kepada bahaya angin kuat.

“Dulu saya pernah juga minta tolong orang, tetapi tidak tahu mengapa saya tidak berhasil. Apa yang saya perlu pada masa sekarang ini adalah tempat perlindungan yang layak dipanggil rumah untuk saya berlindung dari panas dan hujan,” katanya.

Ketiadaan tanah punca masalah

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Telaga Mas, Ali Mohd berkata, masalah ketiadaan tanah yang menjadi hak milik Siti Azma Mohd Zin menyebabkan bantuan rumah sukar disalurkan kepada ibu tunggal tersebut.

Ali berkata, Siti Azma juga sebelum ini ada membuat permohonan melalui cawangannya di Rasau Kerteh dan sehingga kini status permohonannya masih belum diketahui.

“Kalau dia hendak mohon melalui cawangan saya, dia kena batalkan dahulu permohonannya melalui kampung asalnya.

“Insya-Allah, kita cuba membantunya. Paling mustahak dia kena ada tanah dulu untuk dijadikan tapak rumah, baru kita boleh cari peruntukan untuk bina rumah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PAKA - Permohonan maaf secara terbuka telah dibuat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) susulan kes seorang pembayar cukai, Amran Mohamed, 45 yang menerima surat tunggakan hutang dan dinyatakan sudah meninggal dunia oleh agensi tersebut.
  • PAKA - Dua warga emas berdepan penyakit kronik dikunjungi pemimpin masyarakat dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sempena program jom bantu rakyat, di sini, baru-baru ini.