KUALA TERENGGANU – Bilangan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini menunjukkan trend menaik dengan catatan sebanyak 772 kes sehingga 13 Ogos lalu sejak kes pertama dikesan pada 24 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kes itu mencatatkan peningkatan kepada 274.8 peratus berbanding 206 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Terengganu antara negeri yang dikesan mengalami penularan wabak HFMD. Kes HFMD di Terengganu masih meningkat dan kita kini sedang giat menjalankan operasi dan pemantauan selain kempen kebersihan.

“Jabatan Kesihatan Negeri giat memberi penerangan serta menjalankan pemeriksaan di setiap premis di seluruh daerah yang lebih fokus kepada taska dan nurseri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Peningkatan kes HFMD di Terengganu membimbangkan]

[ARTIKEL BERKAITAN: 632 kes HFMD dikesan di Terengganu]

Alias berkata, daripada 772 kes dicatatkan, daerah Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi iaitu 200 kes diikuti Marang (124 kes), Dungun (108), Setiu (96), Kuala Nerus (88), Besut (72), Hulu Terengganu (52) dan Kemaman (32).

“Sebanyak 15 wabak HFMD dilaporkan di Terengganu iaitu lima di Kuala Terengganu, Setiu (dua), Marang (empat), Kuala Nerus (dua) dan masing-masing satu di Hulu Terengganu dan Besut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Alias berkata, terdapat 679 kes melibatkan kanak-kanak lingkungan satu hingga enam tahun dan ia adalah kumpulan paling berisiko dijangkiti penyakit itu.

Selain itu katanya, terdapat 64 kes melibatkan kanak-kanak bawah umur setahun, 27 kes bagi berusia tujuh hingga 12 tahun dan masing-masing satu kes bagi usia 13 hingga 18 tahun dan 18 tahun ke atas.