KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen pembangkang menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas pelampau yang menyebar fahaman ‘pengganas’ yang menyebarkan budaya takfiri atau kafir mengkafir.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyifatkan tindakan pihak tertentu membawa budaya tersebut dianggap boleh mendatangkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Menurutnya, penyebaran fahaman tersebut turut berlaku di mimbar masjid dan surau yang sudah berulang kali dibawa ke Parlimen tanpa tindakan.

“Ungkapan-ungkapan ‘halal darah’ serta ‘wajib dihapuskan’ berkumandang di majlis-majlis ‘ilmu’ agama yang lebih merbahaya daripada tuduhan yang dikenakan ke atas Aishah.

“Kenapa kerajaan bertindak keras ke atas pelajar anak muda dan menutup mata pada para ‘agamawan’ dewasa yang pengaruh mereka lebih besar dan luas serta boleh memudaratkan suasana masyarakat dengan penyebaran budaya takfiri mereka? Di manakah keadilannya dalam isu ini?” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Amanah Terengganu turut menyatakan persetujuan terhadap segala usaha memerangi sebarang bentuk keganasan.

Bagaimanapun katanya, proses keadilan yang dituntut Islam dan semua agama lain mestilah dipatuhi.

Jelasnya, isu melibatkan Siti Noor Aishah Atam yang dikenakan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) atas tuduhan terlibat dengan aktiviti pengganas dipersoalkan.

Menurutnya, Siti Aishah ditahan kerana didakwa memiliki buku berkait pengganas sedangkan buku-buku tersebut masih tidak diharamkan oleh kerajaan sehingga kini dan dia juga didapati tidak bersalah oleh hakim mahkamah tinggi yang membebaskannya.

Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut bukanlah berita gembira buat Siti Noor Aishah yang kemudian telah dikenakan tahanan di rumahnya sendiri.

“Para agamawan yang memegang tanggungjawab besar serta berpengaruh di kalangan masyarakat, terang-terang menyebarkan budaya takfiri dengan saranan halal darah serta wajib dihapuskan di masjid dan surau.

“Siapakah yang lebih merbahaya kepada masyarakat hari ini? Aishah atau mereka yang menggunakan rumah ALLAH dan majlis agama bagi penyebaran budaya takfiri yang ganas? Kerajaan perlu berlaku adil dan saksama,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mempersoalkan kenyataan Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat, Ahmad Amzad Hashim berhubung penulisannya yang disiarkan sebuah portal berita sebelum ini bertajuk ‘Usaha Memadamkan Legasi Nik Aziz’ pada 12 April lalu.
  • KUALA TERENGGANU - RUU Persendirian yang akan dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 perlu diperkemaskan kerana didakwa ada perkara tidak jelas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.