KUALA NERUS - Edisi ketiga Program Saintis Islam Terengganu Kohort III memperkenalkan modul khas bakal digunakan untuk pengajaran 17 peserta terpilih tahun ini.

Modul khas dilancarkan pada Mei tahun lalu, ‘Saintis Islam: Anjakan Cendekiawan Profesional' antara 10 sub modul terkandung dalam program bakal diikuti peserta.

Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin serta Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) itu diperkenalkan bagi melahirkan saintis Islam.

Peserta terpilih perlu menghafaz 30 juzuk al-Quran dan menguasai ilmu astronomi, kejuruteraan, al-Quran serta kebijaksanaan emosi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang berkata, program diperkenalkan sejak 2015 itu membuktikan kerajaan negeri komited dalam melahirkan pelajar cemerlang merangkumi pelbagai aspek.

“Yayasan Terengganu akan menaja pelajar terpilih daripada program bermula hari ini (semalam) sehingga 2 Mac depan, daripada ijazah sarjana muda hingga doktor falsafah dengan anggaran kos melebihi RM1 juta seorang.

“Peserta terpilih pada 2015, Mohamad Irfan Mohd Zameri sedang mengikuti kursus semester empat A Level di Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin, Selangor dan bakal menyambung pengajian dalam bidang aeroangkasa di sebuah universiti terkemuka di United Kingdom (UK), September ini. Sementara peserta terpilih pada tahun lalu, Muhammad Lutfil Hady Zainol Hady sedang mengikuti pengajian semester dua di kolej sama dan bakal menyambung pengajian di UK dalam bidang kejuruteraan.

“Bagi tahun ini pula, peserta terpilih akan mengikuti bidang perubatan,” katanya sebaik selesai menyempurnakan Majlis Perasmian Program Saintis Islam Terengganu Kohort III 2017 di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, UMT, di sini, semalam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.