KUALA BERANG - Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang merekodkan jumlah taksiran harta benda yang berjaya diselamatkan daripada musnah dalam insiden kebakaran sepanjang tahun lalu bernilai kira-kira RM1.42 juta.

Ketuanya, Penolong Penguasa Bomba Hairysam Mat Tahar berkata, berdasarkan perangkaan kebakaran, penyelamatan dan khidmat kemanusiaan serta tugas-tugas khas pada tahun lalu turut merekodkan kira-kira RM1.41 juta nilai taksiran kerugian bagi tempoh sama.

“Jumlah keseluruhan panggilan sepanjang tahun lepas ialah 145 panggilan. Daripada jumlah itu, 58 panggilan kebakaran dan selebihnya panggilan keselamatan serta tugas-tugas khas.

"Bagi panggilan kebakaran pula, 24 kes membabitkan kebakaran bangunan dan isinya serta kenderaan dengan masing-masing merekodkan 12 kes. Selebihnya jenis kebakaran mesin, alat perkakas, gas, kebun ladang, belukar lalang dan lain-lain. Jenis bangunan terlibat kebakaran ialah kedai, pejabat, rumah teres, dapur, sekolah, rumah kediaman dan premis ladang ternakan. Dari aspek mangsa terlibat kebakaran, tiada kematian direkodkan, tiga cedera dan sembilan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, semalam sewaktu memantau anggota bertugas menjalankan rutin harian dengan memeriksa peralatan agar sentiasa berada dalam keadaan baik.

Hairysam berkata, pihaknya juga merekodkan sifar panggilan palsu pada tahun lepas yang menunjukkan kesedaran dalam kalangan masyarakat semakin meningkat bahawa situasi itu bukan gurauan sebaliknya kesalahan serius yang boleh didakwa.

Katanya lagi, pihak mereka sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha meningkatkan kesedaran pencegahan kebakaran, selain memastikan tindakan pantas dan betul dapat diambil sekiranya berlaku kes kebakaran.