SUNGAI COMO - Harga makanan ikan di pasaran yang agak mahal sedikit sebanyak menjadi kekangan bagi segelintir penternak ikan air tawar dalam sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir, di sini untuk memperbesarkan lagi projek penternakan ikan yang diusahakan mereka.

Malah, dek kerana itu juga ada penternak terpaksa melupakan hasrat itu meskipun hasil ternakan terutamanya tilapia yang dikenali sebagai Red Kenyir sentiasa mendapat permintaan tinggi dan berpotensi besar untuk menembusi pasaran lebih jauh.

Penternak, Mohd Zaki Mohd Zain, 58, berkata, buat masa ini dia perlu membelanjakan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan bagi membeli palet untuk keseluruhan ternakan 40 sangkar diusahakannya iaitu beberapa jenis ikan seperti baung, lampam jawa, patin dan paling banyak Red Kenyir.

Menurutnya, dia memulakan ternakan ikan air tawar di situ sekitar April 2014 lalu dengan hanya lima sangkar.

"Alhamdulillah, Jabatan Perikanan negeri turut memberikan bantuan sangkar menjadikan keseluruhan sangkar yang saya ada kini sebanyak 40 buah.

“Hasil pendapatan kasar diperoleh sebulan sekitar RM3,000 dan ia secara tidak langsung menunjukkan ikan-ikan diternak di Sungai Como ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Cuma, senario dihadapi permintaan melebihi pengeluaran berikutan kekangan dihadapi penternak dari segi harga makanan ikan yang mahal," katanya.

Seguni palet bertahan dua, tiga hari

Mohd Zaki berkata, seguni palet seberat 20 kilogram (kg) hanya dapat bertahan antara dua hingga tiga hari sahaja dan dia memerlukan dua jenis untuk diberikan kepada ikan diternak.

"Satunya berharga RM67 bagi palet ikan dewasa manakala RM70 untuk palet ikan kecil dan sebulan perlukan sekurang-kurangnya 10 guni bagi setiap jenis.

“Memandangkan permintaan begitu tinggi diterima tentunya saya dan penternak lain berhasrat untuk menambah jumlah sangkar, tetapi sehingga kini saya sekadar mampu pendam sahaja semua itu kerana bukan sahaja kos membina sangkar tinggi tetapi juga harga makanan ikan juga agak mahal sekali gus menjadi kekangan bagi saya serta yang lain”, katanya.

Dia berkata  demikian kepada pemberita sewaktu Lawatan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari ke Tasik Kenyir bagi meninjau pembangunan semasa dan penambahbaikan boleh dilakukan.

Mohd Zaki (dua, kiri) berkongsi kisah dan senario dilaluinya dan penternak yang lain kepada Jailani (tengah).

Pengurangan harga makanan dapat ringankan beban

Tambah Mohd Zaki, mewakili penternak yang juga peserta projek di Sungai Como tersebut, dia berharap agar perkara itu mendapat perhatian kerajaan.

"Saya harap adanya usaha dapat dilakukan bagi mengurangkan harga makanan ikan sekali gus meringankan beban dan membolehkan mereka merealisasikan hasrat menambah jumlah sangkar ternakan masing-masing.

“Kalau tidak dapat diberikan subsidi sekalipun, biarlah harga makanan ikan di pasaran dapat dibeli dengan harga murah serta berbaloi kerana harga sekarang cukup ‘berat’ bagi kami, para penternak," katanya.

Malah katanya, sekiranya ada bantuan daripada kerajaan terutamanya pengurangan harga makanan palet ikan, tentunya dia tidak akan berfikir panjang untuk menambah jumlah sangkar ikan.

"Dah lama saya impikan memandangkan Red Kenyir begitu berpotensi dipasarkan lebih meluas apatah lagi diternak dalam sumber air yang bersih," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.