KUALA TERENGGANU – Permintaan tinggi terhadap barang basah dan mentah sepanjang Ramadan hingga menjelang sambutan Aidilfitri menyaksikan berlaku kenaikan harga yang membebankan pengguna.

Tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang, di sini mendapati ayam antara yang mengalami kenaikan harga dan ia diakui oleh peniaga bahawa kenaikan itu berlaku setiap tahun menjelang musim perayaan.

Seorang peniaga ayam, Mohd Robby Awang, 36, berkata, setiap kali Ramadan harga ayam akan naik dan ia bermula dari ladang lagi.    

“Apabila, mereka (penternak) naik harga, kita juga terpaksa naik harga.  Sebelum Ramadan, ayam dijual pada harga RM7.50 sekilogram dan kini meningkatkan kepada RM8 sekilogram, malah ada yang jual RM9 terutama gerai di tepi jalan.

“Ada kalangan pelanggan apabila melihat sahaja tanda harga, mereka tidak jadi membeli,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bagi pengguna yang faham, mereka beli sahaja tetapi ada juga pengguna merungut dan jika sebelum itu berhajat beli tiga ayam mengurangkan kepada dua ekor setengah sahaja.                  

Selain ayam, lada juga antara yang mendapat permintaan tinggi pada musim ini, apabila harga terkini sekitar RM12 sekilogram berbanding harga sebelum Ramadan hanya RM7 hingga RM8 sekilogram sahaja.

Peniaga sayur, Norma Jusoh, 56, berkata, kenaikan barang telah menjadi perkara biasa setiap kali tibanya Ramadan, setakat ini pembekal memberikan harga yang berpatutan kepadanya, sekali gus membolehkan dia menjual sayuran pada harga ditetapkan.        

“Walaupun harga lada kini dijual RM12 sekilogram, tetapi saya masih jual dengan harga RM10 sekilogram. Manakala sayur-sayuran lain pula, harga masih pada harga terkawal dan pembekal sentiasa memberikan bekalan yang cukup setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.

Seorang lagi peniaga, Mohd Asri Said, 28, berkata, beberapa sayur lain seperti kacang panjang juga berlaku kenaikan, dari hanya RM4.50 sekilogram menjadi RM6 sekilogram sejak bermula Ramadan.

“Kenaikan RM1.50 dari harga asal, RM4.50 sangat tinggi. Saya ada juga dengar khabar angin harga akan naik lagi, saya sendiri pun tidak pasti.   Dengan kenaikan secara mendadak ini, sedikit-sebanyak ia merunsingkan peniaga seperti kami.

“Sebab bimbang pengguna anggap kami (peniaga) yang sengaja naik harga (main harga) sesuka hati pada musim perayaan,” katanya.  Sementara itu harga ikan masih kekal pada harga biasa sebagaimana sebelum Ramadan.  

Peniaga, Mazlan Awang, 56, berkata, permintaan ikan tidak begitu tinggi berbanding ayam dan daging lembu kerana itulah harga jarang melambung tinggi.

“Tidak kiralah Ramadan atau tidak harga ikan masih sama.  Seperti ikan kembong sekitar RM16 hingga RM18 sekilogram, bergantung saiz, begitu juga ikan tongkol RM9 hingga RM10 sekilogram.  

“Harga sotong pula RM25 sekilogram.  Namun, apabila permintaan tinggi, harga mungkin juga akan meningkat,” katanya.