KEMAMAN - Pakatan Harapan (Harapan) akan meneruskan agenda membantu rakyat di Kemaman walaupun mereka kalah di daerah ini pada PRU14, 9 Mei lalu.

Bekas calon Harapan (PKR) Parlimen Kemaman, Mohd Huzaifah Md Suhaimi berkata, kejayaan membentuk kerajaan di peringkat pusat membolehkan Harapan menumpukan perhatian terhadap agenda membantu rakyat.

"Kami telah jangka akan berjaya membentuk kerajaan dan Alhamdulillah ia menjadi realiti.

"Apa yang penting sekarang adalah untuk kami mengotakan janji-janji kami dalam 100 hari pertama. Maka rakyat perlu memberi ruang secukupnya kepada pimpinan untuk membentuk kabinet seterusnya melaksanakan janji-janji dalam manifesto kami," katanya.

Keputusan PRU14 menyaksikan Mohd Huzaifah, 32, yang juga calon muka baharu kalah di tangan calon Pas, Che Alias Hamid yang turut menumbangkan penyandang tiga penggal kerusi Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Che Alias yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kemaman yang memperoleh sebanyak 39,898 undi menang dengan majoriti 2,163 undi mengetepikan Shabery merangkap bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang mendapat 37,715 undi dan Mohd Huzaifah menerima 12, 911 undi.

Mengulas lanjut tentang kekalahannya itu, Mohd Huzaifah berkata, kekalahan di Parlimen Kemaman itu tidak dijangka kerana Harapan menyasarkan akan menerima lebih undi daripada orang-orang Melayu.

"Namun realitinya orang-orang Melayu di Terengganu dan Kemaman khususnya lebih selesa dengan pilihan tradisi iaitu antara BN dan Pas.

"Bagaimanapun, Harapan di Parlimen Kemaman mendapat hampir 13,000 undi, iaitu undi kedua terbanyak di negeri ini berbanding yang diperoleh calon Harapan di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

"Jadi bagi kami keputusan ini agak baik jika dibandingkan kekalahan di kerusi-kerusi  Parlimen lain di Terengganu," katanya.

Tambah Mohd Huzaifah, pihaknya kini juga sedang dalam proses mengenalpasti faktor-faktor kekalahan di Kemaman dan juga di kerusi-kerusi lain.

Tegasnya, pihaknya akan memperbaiki keadaan itu secepat mungkin bagi memantapkan persediaan mereka bagi menghadapi PRU15 akan datang.

"InsyaALLAH kami yakin dengan momentum perubahan rakyat dan kekuatan jentera yang lebih baik, PRU15 kami mampu tawan Kemaman dan Terengganu," katanya lagi.