KUALA NERUS - Manifesto Pakatan Harapan (Harapan) untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan janji yang mengarut dan tidak munasabah.

Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu berikutan masalah ekonomi dunia adalah mustahil GST dapat dihapuskan.

“Saya yakin kalau (Harapan) hendak laksana penghapusan GST segala bantuan kepada rakyat, pembangunan (negara) tidak dapat diteruskan.

“GST telah teruji dan dilaksanakan di banyak negara. Jadi amat pelik jika tiba-tiba hendak hapuskan. Satu benda yang tidak masuk akal,” katanya ketika ditemui di Karnival Cakna Rakyat Dun Teluk Pasu di Kampung Banggol Tok Esah, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai janji-janji Harapan antaranya menghapuskan GST jika berjaya menakluki pemerintahan negara pada PRU14 nanti.

Menurut Ahmad Razif, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu berikutan kejatuhan harga petroleum dunia kerana tidak mempunyai pilihan dan terpaksa meneruskan pelaksanaan GST.

“Kita dah kekurangan banyak benda (selepas kejatuhan harga petroleum dan ekonomi dua tidak menentu.

"Jadi kalau hendak hapuskan GST itu adalah tidak munasabah,” katanya.

Khamis lalu, Harapan melancarkan manifesto PRU14 bertemakan ‘Membina Negara, Memenuhi Harapan’.

Antara tawaran dalam manifesto berkenaan adalah menghapuskan GST, menghapuskan tol secara berperingkat, mengehadkan dua penggal jawatan.