BESUT - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak tergambar kesedihan seorang ibu muda apabila selepas empat bulan anak lelakinya terlantar koma, dia mendapat khabar suaminya pula meninggal dunia.

Shakirah Elias, 30, terpaksa melalui dugaan bertali arus apabila suami tercinta, Ayub Fauzi (ketika itu usia 43 tahun)  pergi buat selama-lamanya pada 13 Mei tahun lepas sementara anak sulungnya pula lumpuh dan tidak mampu bersuara.

Menurutnya,  Muhammad Akif Darwisy, 8, kini hanya terlantar selepas dia tiba-tiba pengsan ketika bermain di halaman rumahnya di Felda Tementi, Temerlong, Pahang, dua tahun lalu.

Menurutnya, kejadian disedari arwah suaminya apabila mendapati anaknya pengsan dalam keadaan duduk dengan mukanya berubah menjadi biru di depan rumah pada jam 3 petang, 15 Disember 2016 ketika sedang bermain dengan adiknya, Muhammad Amal Danial yang berumur empat tahun ketika itu.

Hanya mampu guna isyarat tangan, kaki

Katanya, Muhammad Akif sebelum itu seorang kanak-kanak sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan selain peramah.

Shakirah berkata, anaknya diberi bantuan pernafasan di sebuah klinik kesihatan selama dua jam 30 minit sebelum dikejarkan ke Hospital Temerloh.

Menurutnya, doktor yang merawat Muhammad Akif memberitahu peluang untuk anaknya sembuh tipis memandangkan dia kehilangan oksigen dan terpaksa bergantung kepada bantuan pernafasan di hospital berkenaan.

Mohd Latpi (kiri) bersama wakil syarikat produk kesihatan melawat Muhammad Akif yang tinggal di rumah neneknya Cik Fatimah Mat Jusoh, 60 (dua kanan).

“Bagaimanapun ramalan doktor meleset apabila anak saya semakin hari telah menunjukkan perkembangan positif dan tidak bergantung kepada bekalan oksigen lagi.

“Selepas hampir tiga bulan terlantar di Hospital Temerloh, Muhammad Akif dibenarkan pulang namun keadaannya terus terlantar,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Blok 7, Felda Selasih, Jabi dekat sini.

Shakirah memberitahu, anak sulung daripada dua beradik itu hanya mampu menggerakkan tangan dan kaki tetapi tidak boleh mengiringkan badan mahupun bertutur.

Katanya, dia juga sukar memberi tindak balas sekiranya mendengar sesuatu kecuali menangis dan gembira.

“Dia menangis hampir setengah jam apabila tahu ayahnya meninggal dunia.

“Dia tidak mengeluarkan suara tetapi boleh dilihat dari air mata yang bercucuran dan memek mukanya,” katanya.

Anak kesayangan arwah bapa

Kata Shakirah, Muhammad Akif merupakan anak kesayangan arwah suaminya yang meninggal akibat kencing tikus.

“Dia tidak sihat sebelum Muhammad Akif sakit lagi tetapi pada awalnya suami saya disangka hanya demam biasa sehingga keadaannya semakin tenat dan dirawat di hospital.

“Selepas keluar hospital, keadaannya tidak jauh berubah dan dia pulang ke kampung asal di Pasir Puteh, Kelantan untuk berubat secara tradisional,” katanya yang turut dikunjungi wakil sebuah syarikat produk kesihatan dari Kuala Lumpur.

Hadir sama wakil pegawai Kebajikan Daerah Besut,  Mohd Latpi Yusoff.

Tidak tahu punca

Selepas kematian suaminya, Shakirah memberitahu, dia terus menetap bersama ibunya di Felda Selasih yang juga merupakan ibu tunggal selepas kematian bapanya iaitu setahun lebih awal sebelum suaminya dijemput Ilahi.

Kata Shakirah, walaupun terlantar namun saiz badan Muhammad Akif meningkat daripada 20 kilogram dua tahun lalu kepada 40 kilogram kini walaupun hanya bergantung kepada susu menggunakan saluran tiub melalui hidung.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati semua organ pentingnya berfungsi baik malah tiada sebarang masalah kesihatan.

“Sampai ke hari ini, hospital tidak dapat mengesan punca dia pengsan tiba-tiba dan lumpuh sampai sekarang,” katanya.

Shakirah menunjukkan gambar anaknya yang dulu aktif dan ceria tetapi sekelip mata terlantar sejak dua tahun lalu.

Wanita tabah itu memberitahu lagi, dia mendapat bantuan susu khas dari Tabung Darul Iman namun ada kalanya bantuan tersebut terhenti beberapa bulan sehingga dia terpaksa membeli susu tepung biasa melalui bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

“Namun bantuan yang diterima masih belum mencukupi kerana kos sebulan sekitar RM700 termasuk perbelanjaan memandangkan saya tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga anak,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau ingin membantu kanak-kanak malang ini mendapatkan rawatan bolehlah menghubungi Shakirah di talian 09 6979748.