KUALA BESUT - Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut sudah menghantar tiga tan bekalan asas makanan ke Pulau Perhentian, di sini sebagai persediaan penduduk menghadapi banjir.

Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, penghantaran bekalan membabitkan kos bernilai lebih RM15,000 itu untuk menampung keperluan kira-kira 2,000 penduduk yang menetap di Kampung Pulau Perhentian Kecil.

Menurutnya, keperluan tersebut antaranya beras, minyak masak, biskut, susu, gula, susu tepung dan beberapa barangan asas lain.

“Penghantaran bekalan tersebut mendapat bantuan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Manakala kerja pemunggahan bekalan tersebut yang bertempat di Jeti Perikanan Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan disertai 150 sukarelawan JKM, kakitangan Pejabat Daerah Besut dan penduduk Pulau Perhentian diketuai Pegawai Kebajikan Daerah Besut, Suzieyati Siyude serta anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut,” katanya.

Tengku Zaihan berkata, bekalan fasa pertama itu cukup untuk menampung keperluan penduduk selama seminggu sekiranya mereka terkandas atau tidak dapat keluar ke tanah besar akibat keadaan laut bergelora atau larangan penggunaan bot kecil oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, sekiranya bekalan tersebut tidak mencukupi, penghantaran bekalan tambahan akan dilakukan menggunakan pengangkutan sesuai.

“Dari aspek kemudahan kesihatan , saya dimaklumkan seorang pembantu kesihatan, dua jururawat dan seorang pemandu bot akan sentiasa berada di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian sepanjang musim tengkujuh.

“Bagi kes kecemasan atau pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di hospital, bantuan kapal atau bot lebih besar akan diusahakan.

“Manakala bagi kes kritikal, bantuan udara seperti helikopter akan dilakukan kerana ada satu pusat pendaratan helikopter di pulau itu, “katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengambil inisiatif baru dengan memperkenalkan beberapa aktiviti dan program untuk pengurusan bencana banjir tahun ini.
  • SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang kanak-kanak lelaki yang ditinggalkan.
  • KUALA LUMPUR - Dua waris kanak-kanak yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) dicari bagi tujuan penempatan kanak-kanak.
  • IPOH - Sebuah keluarga di Kampung Bakar Bata Tanjung Rambutan memohon bantuan perumahan daripada pihak berwajib setelah tujuh tahun mendiami bahagian dapur yang disewa di sebuah rumah milik individu lain di kampung berkenaan