GONG BADAK - Kerajaan negeri memberi kata dua kepada pembekal bas amfibia sama ada menghantar bas berkenaan ke Terengganu selewatnya hujung bulan ini atau bakal berdepan tindakan saman.

Keputusan tegas itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman setelah pihak pembekal beberapa kali gagal mematuhi tempoh penangguhan yang dibuat sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan tiada lagi penangguhan dan pihak berkenaan diminta untuk menghantar bas tersebut selewatnya penghujung November ini bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Berkenaan bas amfibia sehingga kini kita belum lagi terima dan kita beri kata dua kepada pembekal untuk hantar bas berkenaan selewatnya hujung bulan ini.

“Sekiranya tidak (sampai bas berkenaan dalam tempoh ditetapkan) kita akan saman dan kita tiada kompromi dengan dalam hal ini kerana kita difahamkan masalah teknikal (yang berlaku sebelum ini) telah selesai.

“Bas itu sudah siap dan masih berada di Malta namun saya difahamkan ada masalah penghantaran. Ini soal pembekal, bukan soal kita.

“Jadi, saya sudah beri kata dua kepada pembekal dan minta penasihat undang-undang negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu berikutan kelewatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Khatam Al-Quran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Negeri Terengganu Tahun 2017 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, di sini.

Sebelum ini, bas jenis amphicoach dibeli kerajaan negeri dengan harga RM3 juta pada 2014 dijangka tiba pada Mei 2015 bagi merancakkan industri pelancongan selain digunakan ketika musim banjir.

Bagaimanapun, difahamkan kelewatan bas itu dihantar disebabkan keputusan kerajaan negeri yang mahu amphicoach itu diterima dengan mematuhi sepenuhnya spesifikasi ditetapkan selain masalah transit dan masalah persijilan yang turut memakan masa kerana bergantung sepenuhnya dengan keadaan cuaca di Malta.

Mengikut perjanjian terbaharu, Terengganu sepatutnya menerima bas berkenaan pada Jun lalu selepas beberapa kali tertangguh sejak 2015, namun sekali lagi ia gagal dipatuhi pihak pembekal.