MENGABANG TELIPOT - Penduduk tidak menolak kemungkinan jalan yang menghubungkan Mengabang Telipot - Pengkalan Maras, di sini, bakal terputus berikutan hakisan pantai yang semakin teruk di kawasan berkenaan.

Kemungkinan itu boleh berlaku dalam tempoh tidak sampai seminggu sekiranya air pasang besar, ombak tinggi dan angin kencang berlaku serentak seperti mana yang melanda ketika ini.

Ini kerana, jarak antara jalan ke pantai kini hanya tinggal kira-kira 10 meter setelah berlaku hakisan teruk sejak tiga hari yang lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara, Abd Rahman Bakar berkata, hampir keseluruhan aset yang terdiri daripada bangunan, stor enjin dan beberapa peralatan lain milik nelayan telah hanyut ditelan ombak.

“Apa yang boleh dikatakan, hakisan ini sememangnya dahsyat dan berlaku sekelip mata, sebelum ini peralatan dan aset nelayan yang dihanyutkan dan kini jalan raya juga turut terkesan.

“Bayangkan kini, kedudukan jalan raya hanya kira-kira 10 meter daripada pantai dan jika air pasang besar, ditambah dengan angin kencang ia turut melimpah di atas jalan.

“Kebimbangan ini telah disuarakan ramai penduduk sebelum ini, namun kita tidak jangka hakisan ini berlaku dengan begitu cepat dan boleh mengancam keselamatan awam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya lagi, sekiranya ombak setinggi tiga meter, air pasang setinggi 2.7 meter dan ditambah kelajuan angin sehingga 60 kilometer sejam berlaku seperti diramal, laluan yang menghubungkan penduduk di Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras itu bakal  terputus.

Sehubungan itu, pihak berwajib didesak mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah hakisan itu berikutan situasi yang berlaku ketika ini semakin buruk.

Masalah hakisan di sekitar Mengabang Telipot mula berlaku di Kampung Tanjung Gelam sebelum merebak ke Kampung Tengah dan Kampung Kolam sejak lebih setahun lalu.

Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Terengganu mengambil langkah keselamatan awal dengan memasang tali garisan amaran di sekitar hakisan yang begitu hampir dengan jalan raya.

Selain itu, anggota juga akan membuat rondaan secara berkala di kawasan yang berisiko bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Pegawai Pertahanan Daerah Kuala Terengganu Kuala Nerus, Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menghampiri kawasan yang berlaku hakisan demi keselamatan diri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GERIK - Orang ramai yang menggunakan jalan raya Sumpitan-Ijok diminta berhati-hati ketika melalui jalan itu terutama pada musim hujan bagi mengelak insiden tidak diingini.
  • KUALA PILAH - Dalam usaha mengurangkan kesesakan di jalan Kuala Pilah-Seremban, Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) bersama agensi kerajaan lain telah merangka pelbagai alternatif bagi keselesaan pengguna di sini.
  • PASIR GUDANG - Jalan baharu yang menghubungkan Kong Kong dekat Masai, di sini ke Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) bernilai RM50 juta bakal dibina.
  • PONTIAN - Sudah sekian lama penduduk Pontian terpaksa menggunakan laluan di Pekan Nanas untuk berulang alik ke Johor Bahru.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.