PERMAISURI - Mula menjadi imam kerajaan di Masjid Bandar Permaisuri ketika berusia 22 tahun menjadikan seorang pemuda berasal dari Kampung Hutan Nangka, Jerteh, Besut sebagai imam termuda di Terengganu.

Ahmad Salihin Zamri, 26, berkata, sejak tadika lagi dia mula menghafal al-Quran dan minat dalam pengajian Islam.

Menurutnya, dia mula serius menghafal al-Quran ketika di Tingkatan Satu apabila belajar di sebuah tahfiz swasta di Kelantan.

Bermula dari situ,  bakatnya mula menyerlah walaupun pada awalnya kemasukan ke pusat tahfiz itu secara paksa oleh ayahnya, Zamri Deraman, 57.

"Masa umur 13 tahun saya jadi imam jemputan di surau dan masjid terutama bagi solat sunat tarawih," katanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik ini berkata, ketika berusia 16 tahun, dia sudah mampu menyampaikan ceramah di luar pusat pengajiannya.

"Pada awalnya saya terpaksa ikut cakap abi (ayah) untuk belajar di tahfiz. Tapi selepas itu saya bersyukur sebab dapat sampaikan dakwah Islam.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya sambung pengajian di Maahad Tahfiz al-Quran cawangan Kelantan dalam pengajian Diploma Tahfiz al-Quran wal Qiraat, kemudian syahadah Hifzul Quran di Makkah," katanya yang menerima Anugerah Tokoh Belia Islam daerah Setiu.

Dapat biasiswa penuh

Ahmad Salihin berkata, sepanjang pengajiannya, dia mendapat biasiswa penuh dan tidak perlu memikirkan soal hutang.

Selain dia, semua adik beradiknya lain yang kesemuanya lelaki kini menjadi imam dan menghafal al-Quran.

“Kami ada tujuh beradik, sorang meninggal dunia masa kecil, kini yang tinggal, lima lelaki dan seorang perempuan,” katanya.

Ahmad Salihin (kiri) bersama adik beradik lelaki dan abi (tiga, kiri) di kediaman mereka

Ditanya cabaran menjadi imam muda, Ahmad Salihin berkata, ketika dia secara rasminya menjadi imam di Masjid Bandar Permaisuri, baru dia terasa akan besar tanggungjawab sebagai imam.

"Nak menangi hati jemaah kanak-kanak atau belia tak susah sebab saya sendiri seusia mereka.

"Saya faham apa kehendak mereka dan kehidupan arus perdana mereka tapi nak jaga, menangi dan faham golongan tua, profesional, ia satu cabaran besar setakat ini," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Salihin lega kerana terdapat golongan remaja yang sering datang ke masjid itu melakukan pelbagai aktiviti dianjurkan seperti kelas memanah, fardu ain, mengaji dan sebagainya sekali gus mereka akan berjemaah di masjid itu.

Malah menurutnya, ada yang datang menemaninya bermalam di masjid itu terutama ketika dia perlu bertugas waktu Subuh di Masjid Bandar Permaisuri, di sini.

Anak pasangan Zamri dan Nurhapi Zaini Mat Ali, 49, ini berkata, sehingga kini dia masih lagi belajar al-Quran dan kitab thurath secara khusus dengan beberapa orang mursyid.

Ahmad Salihin yang menjadi jurulatih memanah di Besut dan Setiu memegang prinsip berbuat baik demi kebaikan, ibarat campak ke laut akan menjadi pulau.

"Ilmu agama perlu dituntut sepanjang hayat demi mendalami lebih banyak ilmu ALLAH SWT," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang menaik taraf kawasan Taman Lucky Bangsar, di sini, dengan landskap yang lebih menarik sebagai langkah memastikan kesejahteraan hidup komuniti di situ terjaga.
  • KOTA MARUDU - Kira-kira 2.6 peratus sahaja lagi bagi merealisasikan Dasar 90:10 di Sabah, iaitu sasaran memastikan 90 peratus jawatan guru diisi oleh anak tempatan manakala 10 peratus lagi oleh guru daripada luar mengajar di negeri itu.
  • KAJANG - 'Tarikan' sebuah restoran yang menyajikan tarian ghairah dan berahi diserbu polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor.
  • MELAKA TENGAH - Pembangkang yang tidak bertanggungjawab mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan skandal rasuah keluarga Diraja Arab Saudi dianggap telah 'bankrap' idea.
  • KUALA TERENGGANU - “Lebih baik seorang menteri Islam yang adil daripada menteri India dari MIC yang pentingkan diri sendiri.” demikian kata Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Dr B Chandran.