KUALA TERENGGANU - Naluri kuat seorang kakak kepada adik kurang upaya (OKU) membuatkan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tok Beng itu mengambil keputusan untuk menghadiahkan kain pasang baju raya yang diterima kepada adiknya.

Ayu Kartika Azhar, 12, berkata, disebabkan dia telah mempunyai dua pasang baju bagi persiapan hari raya, dia ingin menghadiahkan kain pasang yang diterimanya kepada adiknya, Nur Amirka Wahida, 11, yang masih tiada baju raya.

“Saya dah ada baju raya makcik hadiahkan. Jadi, saya nak bagi kain ni pada adik untuk buat baju gaun, lagipun adik suka warna merah jambu dan merah,” katanya.

Ayu Kartika kehilangan ibunya yang meninggal dunia pada 2012 ketika dia berusia tujuh tahun dan adiknya berusia enam tahun.

Katanya, sejak itu, dia dan ayahnya, Azhar Abu@Abdullah, 56, mengambil alih tugas ibunya bagi menjaga adiknya yang mengalami kecacatan di kedua-dua belah kakinya sejak lahir.

“Adik susah bergerak untuk uruskan diri dia, mandi dan makan. Nak buat semua tu memang kena orang lain bantu,” katanya.

Katanya, setakat ini Nur Amirka Wahida menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mampu menampung perbelanjaan keluarganya.

“Ayah hidap sakit tulang belakang kerana kemalangan. Sejak tu ayah tak kerja dan bekerja sendiri,” katanya yang kini tinggal bersama-sama ibu tirinya.

Ditanya sama ada masih merindui masakan ibunya pada hari raya, katanya dia merindui masakan asam pedas, kuih tat bunga dan puding tembikai air tangan ibunya.

Bagaimanapun, katanya, kehadiran ibu tiri yang dipanggil ‘mama’ menjadi tempat untuk dia dan adiknya bermanja dan mengadu sebarang permasalahan.

“Alhamdulillah, walaupun ibu dah meninggal, kami dua beradik tumpang kasih ibu tiri. Mama layan kami dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi murid tahun tiga SK Bukit Tok Beng, Nuraini Azhar, 9, berkata, dia amat gembira terpilih menerima sumbangan baju raya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pakaian Hari Raya yang disampaikan oleh isteri menteri besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria di Kediaman Seri Iman di sini, kelmarin.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLANG - Tidak ramai masyarakat orang kurang upaya (OKU) yang mendaftarkan diri dalam Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) walaupun sudah lama diwujudkan pihak kerajaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
  • KUALA PILAH - Walaupun mereka tergolong dalam kategori cacat fizikal, itu tidak menghalang golongan terbabit untuk bekerja seperti individu normal menerusi program-program yang disediakan kerajaan dan agensi berkaitan.