• Muhammad Pehimi (tengah) bersama 61 murid SK Kampung Raja yang memperoleh 5A dalam UPSR. Muhammad Pehimi (tengah) bersama 61 murid SK Kampung Raja yang memperoleh 5A dalam UPSR.
1 /

BESUT - Tiada apa yang lebih bermakna buat seorang guru besar yang baru sedar dari koma selepas menjalani ketumbuhan otak sekiranya beliau hadir menyaksikan 61 calon pelajarnya berjaya memperoleh 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
   
Guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja di sini, Rosli Abdul Ghani yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), telah mula membuka matanya pagi ini selepas koma selama 9 hari.
   
Pencapaian terbaik julung-julung kali dicatatkan sekolah itu telah menempatkannya sebagai antara sekolah terbaik UPSR bagi daerah Besut tahun ini.
   
Seramai 61 atau 44.85 peratus pelajar sekolah berkenaan memperoleh semua A, manakala 17 orang atau 12.50 peratus mendapat 4A1B dengan mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.61.
 
Ketika menyampaikan keputusan kepada pelajar sekolah berkenaan, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof berkata keputusan tersebut merupakan pencapaian terbaik bagi sekolah berkenaan setakat ini.

Katanya sekiranya Rosli bersama dalam majlis pengumuman hari ini sudah pasti beliau merupakan orang yang paling berbangga dengan pencapaian murid-muridnya hari ini.
   
"Sebelum dimasukkan ke HUSM, Cikgu Rosli pernah melahirkan kebimbangannya sekiranya pelajar UPSR sekolahnya tahun ini gagal melakukan yang terbaik hingga menyebabkan beliau runsing sebelum diserang penyakit," katanya.
   
Di HULU TERENGGANU, Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu terletak di pedalaman Terengganu di sini mencipta sejarah apabila muncul sekolah terbaik buat kali pertama dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) seluruh Terengganu apabila 16 daripada 20 muridnya memperoleh 5A.
   
Guru Besarnya Ahmad Shukri Ghaza berkata ini adalah keputusan terbaik yang pernah dicatat oleh sekolah berkenaan dan menyifatkan kejayaan itu adalah berkat komitmen semua guru, murid dan ibu bapa.
   
"Sebagai sebuah sekolah kampung, kejayaan ini membuktikan sesiapa sahaja boleh mencatat kecemerlangan tanpa mengira lokasi asalkan semua pihak memberi komitmen terhadap tanggungjawab masing-masing," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Sementara itu anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail turut mengumumkan pihaknya akan mengadakan kenduri kesyukuran dengan menumbangkan dua ekor lembu bagi meraikan kejayaan SK Tapu itu tidak lama lagi.
   
Bagi Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu Shafrudin Ali Hussin pula, kejayaan SK Tapu itu terus meletakkan daerah itu sebagai daerah yang terus mencatatkan peningkatan dan konsisten di Terengganu walaupun dalam keadaan serba kekurangan berbanding daerah lain.
   
"Di sini tiada pusat tuisyen dan ini menyebabkan guru dan ibu bapa terpaksa memberi komitmen yang lebih untuk setiap program pendidikan di sekolah," katanya.
   
Bagi Nurul Izzati Abdul Manang, pelajar SK Tapu yang memperoleh 5A, menganggap kejayaannya itu sebagai menebus kekecewaan ibunya, Jamilah Yusof yang terkilan kerana anak sulungnya gagal menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana kerana meninggal dunia.
   
"Insyaallah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang doktor muslimah dan merealisasikan impian ibu untuk menyaksikan seorang daripada lapan anaknya berjaya menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah," katanya.
  
Di DUNGUN, pelajar UPSR yang dikategorikan dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Nor Azira Nawan dari SK Durian Mas II (dua) di sini muncul antara pelajar cemerlang apabila memperoleh keputusan 5A.
   
Anak keenam daripada tujuh beradik ini yang mengalami kecacatan fizikal di bahagian kaki sebelah kiri, muncul pelajar terbaik kategori calon berkeperluan khas Terengganu dan berjaya membuktikan OKU sepertinya mampu bersaing bersama 117 lagi calon lain di sekolah itu.
   
Azira pernah menangguhkan pelajaran selama setahun ketika berusia 10 tahun untuk menjalani pembedahan bagi membuang lebihan tulang di bahagian pinggul.
   
Namun itu bukanlah alasan untuknya berpatah semangat malah kekurangan itu dijadikan pendorong untuknya meraih kejayaan.
   
Menurutnya, dia hanya mengambil masa satu jam untuk belajar di rumah setiap hari manakala selebihnya dia hanya mengikuti program dan kelas tambahan yang dibuat oleh pihak sekolah.
 
"Saya gembira dan bersyukur dengan keputusan ini. Ia merupakan hadiah kepada kedua ibu bapa dan guru yang sanggup berkorban selama ini.
   
"Saya belajar sama dengan pelajar lain tapi saya sentiasa bersaing dengan rakan-rakan saya untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dan saya berjaya melakukannya," katanya kepada pemberita.
   
Anak kepada pemandu lori minyak ini bercita-cita menjadi seorang pensyarah dan berhasrat menyambung pengajian di Sekolah Menengah Sains Dungun.
   
Sementara itu ibunya, Rahimah Rani, 47, berkata ini merupakan hadiah yang paling bermakna buat mereka sekeluarga.
   
Katanya kejayaan itu merupakan hasil kerja keras guru selain sikap tidak berputus asa yang ditunjukkan Azira.
   
Suri Rumah ini berkata dia mula menyedari anaknya tidak dapat berjalan dengan sempurna ketika masih kecil dan mereka sekeluarga cuba berubat secara tradisional.
   
Bagaimanapun ketika Azira berusia sembilan tahun mereka membawa anaknya ke Hospital Dungun dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur sebelum menjalani pembedahan pada 2010.  - Bernama