DUNGUN - Penyebaran lirik lagu mengagungkan gereja di sebuah sekolah rendah di Hulu Dungun, di sini dikatakan berlaku secara tidak sengaja dan akibat kecuaian.

Guru berkenaan, Muhammad Kamil Abdul Rahman, 38, tampil memohon maaf kepada seluruh masyarakat Malaysia kerana secara tidak sengaja memberikan lirik tersebut kepada murid yang disangkakan lagu berunsur patriotik.

Malah, Muhammad Kamil turut mengakui kesilapannya kerana tidak memeriksa secara terperinci lirik lagu berkenaan dan terus memberikan kepada pelajar untuk latihan persembahan penutup bulan kemerdekaan.

"Setiap kelas perlu buat persembahan lagu patriotik untuk penutup bulan kemerdekaan pada 10 September ini. Lagu-lagu lain termasuk Tanggal 31 sudah dipilih kelas lain dan saya mencari di internet dengan menaip ‘lagu patriotik’.

"Saya sangkakan lagu ini menerap nilai patriotisme dan tak sedar terdapat lirik menyebut Jesus pada perenggan kedua. Masa latihan barulah saya sedar dan tukar lagu serta-merta. Lagi kesilapan yang saya lakukan apabila tidak mengambil semula semua lirik diedarkan kepada pelajar,” katanya.

Menurutnya,  lirik itu kemudiannya menjadi tular walaupun sudah bertemu semua ibu bapa pelajar tahun empat kelas tersebut serta memohon maaf.

“Saya benar-benar kesal kecuaian diri dan saya harap semua pelajar, guru dan seluruh rakyat Malaysia memaafkan kesilapan yang berlaku. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussain menganggap isu tersebut selesai kerana apa yang berlaku tidak disengajakan namun tindakan terhadap guru berkenaan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Saya telah bertemu dengan guru tersebut dan selepas disoal siasat apa yang terjadi adalah secara tidak sengaja. Guru berkenaan sudah memohon maaf dan mengakui kesilapannya serta tiada agenda tersembunyi di sebalik kejadian ini,"katanya.

Beliau yang memandang serius isu tersebut dan meminta semua guru lebih peka supaya kesilapan sama tidak berulang turut meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu tersebut .

Semalam, Sinar Harian melaporkan kecoh di Facebook dan Whatsapp apabila seorang aktivis guru membangkitkan isu itu yang kemudian menjadi tular.