• Wan Mohd Shahrul Nizam mengaku tidak bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap murid tahun enam di Kem Telaga Batin di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam. Wan Mohd Shahrul Nizam mengaku tidak bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap murid tahun enam di Kem Telaga Batin di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
1 /

KUALA TERENGGANU- Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang peserta lelaki perkhemahan pengakap di kem Telaga Batin, di sini, April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Wan Mohd Shahrul Nizam Wan Abdullah, 30, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 377e Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima  tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa pada 22 April lalu lebih kurang jam 11 pagi di Kem Telaga Batin, di sini, telah merangsang seks terhadap mangsa, murid tahun enam untuk melakukan satu perbuatan kelucahan melampau.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh, bapa kepada dua anak itu direkodkan, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan dia diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Hayyatuddin Muhamad.