DUNGUN - Bidang hospitaliti dan pelancongan mendapat permintaan tinggi dalam industri pekerjaan di negara ini.

Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Safri Awang Zaidell berkata, sektor pelancongan dikenal pasti penyumbang terbesar kepada kejayaan ekonomi negara dan Malaysia menerima lebih 8.47 juta pelancong dalam tempoh empat bulan pertama 2018.

“Ini menunjukkan pertumbuhan yang sangat baik dalam industri ini, malah membuktikan bidang kerjaya di dalam pengurusan hotel dan pelancongan sentiasa terbuka kepada graduan.

“Teknologi terkini yang diguna pakai dalam bidang ini membuka peluang untuk sektor perhotelan berinovasi dan meneroka platform baharu,” katanya ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-89 di UiTM Cawangan Terengganu, di sini.

Hadir sama Rektor UiTM Dungun, Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi

Sementara itu katanya, Revolusi Industri 4.0 memberi kesan langsung dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan.

"Pada era ini, kebijaksanaan individu bukan hanya diukur dengan peningkatan gaji tetapi memberi satu kelebihan untuk bersaing secara sihat.

 “Bagi menyokong keperluan tenaga pakar dalam bidang pengurusan hotel dan pelancongan, pembangunan kurikulum ditawarkan turut memberi perhatian terhadap perkembangan teknologi dan revolusi perindustrian 4.0,” katanya.

Sempena istiadat itu, seramai 308 pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan diraikan dan menerima ijazah masing-masing.