KUALA TERENGGANU – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru dijadikan sebagai KRT contoh untuk memberikan inspirasi kepada 1,200 bersamaan 15 peratus KRT yang dikenal pasti tidak aktif di seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Md Farid Md Rafik berkata, pencapaian yang ditunjukkan KRT itu wajar dijadikan contoh dalam misi menyatupadukan penduduk setempat dan menyemarakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Mereka (KRT Gong Baru) adalah KRT yang aktif, kreatif dan dalam masa yang sama mewujudkan suasana seperti kawasan berhimpun yang menjadi tumpuan penduduk setempat dan masyarakat luar dengan inisiatif sendiri.

“Kita amat berbesar hati dengan usaha mereka malah kita akan bantu mereka membina fasiliti yang lebih baik bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Fiesta Perpaduan Rakyat KRT Gong Baru, di sini, semalam.

Fiesta Perpaduan Rakyat itu mendapat sambutan dengan menyaksikan seramai 500 peserta menyertai Pertandingan Mengail Ikan Darat dengan tawaran hadiah utama bernilai RM10,000.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Terengganu (JPNIN), Burhanuddin Daud.

Dalam pada itu, Md Farid berkata, pihaknya berbesar hati menyalurkan peruntukan kira-kira RM20,000 untuk kegunaan KRT itu.

“Kami di pihak jabatan juga akan salurkan peruntukan kepada mereka mungkin dalam RM20,000 untuk selesaikan projek-projek yang akan memberi manfaat kepada komuniti di kampung ini.

"Antara kemudahan yang masih belum ada ialah kawasan mesyuarat dan dewan serbaguna,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRT Gong Baru, Hanafiah Ismail berkata, beliau amat berbesar hati dengan pengiktirafan dan bantuan yang diberikan itu.

“Ia tidak dijangka kerana semua program dan aktiviti yang dilaksanakan di sini demi perpaduan antara semua warga Gong Baru bersama masyarakat setempat dan masyarakat luar.

“Kami sedia menerima lawatan dari KRT dalam dan luar Terengganu untuk hadir bertukar pandangan bagi menghasilkan KRT yang cemerlang,” katanya.

Hanafiah berkata, setiap pemimpin setempat tidak perlu berasa rendah diri dalam memimpin KRT kerana asas pegangan ialah menyatupadukan penduduk tanpa mengira fahaman.

“Kita tidak harus berasa rendah diri dalam memimpin KRT, bagi KRT Gong Baru, wang dan kemudahan asas bukanlah halangan tetapi komitmen dan kerjasama antara ahli jawatankuasa, komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) yang menjadikan kami terus unggul,” katanya

KRT Gong Baru menjuarai sebanyak dua kali bagi Anugerah Pengurusan KRT Peringkat Kebangsaan pada 2008 dan 2014.