SETIU - Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan mendesak kerajaan bertegas dalam isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Presiden Alumni GPMS Kebangsaan, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, sempena Perhimpunan Agung Umno 2017 yang sedang berlangsung kini, beliau berharap perwakilan membawa isu itu ke hadapan.

"Kita minta kerajaan bertegas khusus pada perwakilan untuk bawa isu ini ke depan, ketepikan soal politik, ketepikan soal pilihanraya.

"Kita mahu perwakilan melihat isu ini sebagai maruah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan pelajar di Malaysia," katanya pada Bengkel Pemukiman Negara Bangsa Pra-U #01, di sini.

Syed Anuar berkata, sekiranya kerajaan meluluskan UEC tidak guna negara membina pelajar sebegitu lama dan kemudian meluluskannya.

Ia dilihat satu ketidakadilan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana sekarang Bahasa Melayu dan Sejarah adalah syarat lulus SPM.

"Kalau UEC diluluskan, mereka (pelajar) ini tak ambil Bahasa Melayu dan Sejarah, ini tidak adil bagi pelajar lain.

"UEC tak gunapakai sukatan atau sistem oleh KPM, sepatutnya mereka perlu gubal sistem mereka dan ikut sepertimana KPM," katanya.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa kerajaan mempercepatkan proses mengiktiraf UEC sekolah Cina bagi kemasukan Universiti Awam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :