KEMAMAN - Sebanyak 20 unit kedai bagi projek Gerai Jom Makan bernilai RM1 juta yang siap dibina menjadi tarikan baharu pelancong yang datang ke Kemaman.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Johan Ibrahim berkata, projek pembinaan Gerai Jom Makan itu melibatkan dua fasa.

“Sebanyak 10 unit kedai dibina bagi fasa pertama pada 2016 dan seterusnya 10 unit kedai dibangunkan pada fasa kedua tahun lalu.

“Pembiayaan pembinaan di bawah peruntukan kerajaan negeri dan jumlah diluluskan bagi kedua-dua fasa itu dianggarkan RM1 juta iaitu masing-masing RM500,000 untuk fasa pertama dan kedua,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Gerai Jom Makan di Medan Selera Taman Chukai berhadapan Pejabat TNB, di sini.

Majlis penyerahan  disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mengulas lanjut, Johan berkata, kedua-dua fasa projek itu dilaksanakan kontraktor tempatan.

Katanya, pelaksanaan projek bangunan kedai itu adalah hasil perbincangan peniaga dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada akhir 2016 dan Ahmad Razif bersetuju untuk membangunkan Gerai Jom Makan bagi menandakan sokongan kepada semua peniaga terbabit.