KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menahan sembilan lelaki, termasuk empat ahli ‘Geng Kamal Roning’ yang aktif melakukan jenayah curi kenderaan, khususnya motosikal dalam operasi pada 7 hingga 11 September lalu di sekitar bandar raya Kuala Terengganu.

Selain itu, 10 kenderaan termasuk sebuah kereta yang dicuri sebelum ini dan bahagian-bahagian komponen motosikal berjaya dirampas, dengan anggaran nilai keseluruhan RM100,000.

Penahanan suspek berusia antara 17 hingga 35 tahun itu juga menyelesaikan 10 kes kecurian kenderaan yang dilaporkan sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, kes pertama melibatkan tangkapan ke atas ‘Geng Kamal Roning’ yang aktif di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu

“BSJ dan Unit Task Force telah membuat risikan terhadap geng ini selama dua bulan dan kita telah membuat tangkapan pada 7 September lalu, jam 8.45 malam di hadapan BSN Batu Enam, Kuala Terengganu.

“Seorang lelaki berumur 28 tahun dari Tepoh telah ditahan dan kita telah merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang. Hasil siasatan lanjut, kita membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Duyong Besar, di sini, yang mana kita percaya rumah tersebut dijadikan bengkel secara haram oleh suspek yang berusia 35 tahun dan hasil saringan awal urin, dia positif pil kuda.

“Kita merampas empat buah motosikal, dua buah casis motosikal yang diubahsuai dan empat nombor plat pendaftaran motosikal. Kesemua barang kes dirampas ini positif iaitu ada bersabit dengan laporan motosikal hilang sebelum ini. Kita menahan empat ahli geng ini dan di reman sehingga 16 September untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Terengganu di sini, semalam.

Jelasnya, kes kedua libatkan rampasan oleh IPD Kuala Terengganu yang dijalankan dalam Ops Samseng di Jalan Manir, Kuala Terengganu pada 9 September, kira-kira jam 2 pagi.

Dalam ops tersebut, seorang lelaki berusia 17 tahun ditahan manakala motosikalnya dirampas setelah didapati nombor enjin dan casis telah diubahsuai.

Manakala dalam kes ketiga, BSJ IPD Kuala Terengganu telah menangkap seorang lelaki berusia 23 tahun di Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, pada 9 September lalu, kira-kira jam 10.15 pagi, dan telah merampas sebuah motosikal yang telah dileraikan yang sebelum ini dilaporkan dicuri.

“Dalam kes keempat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu telah menangkap seorang lelaki berusia 35 tahun di Jalan Kuala Berang di Bukit Payong, Marang pada 11 September lalu, kira-kira jam 12.55 pagi.

“Dalam tangkapan itu, turut dirampas sebuah enjin motosikal yang ada bersangkutan dengan kes kehilangan motosikal di Bukit Payong,” katanya.

Katanya lagi, kes kelima pula melibatkan tangkapan dan rampasan oleh pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Kuala Terengganu pada 10 September, kira-kira jam 2.25 pagi.

Menurutnya, anggota dari Balai Polis Chabang Tiga telah menerima laporan kehilangan sebuah kereta Viva di Kampung Pengadang Baru.

“Tidak sampai setengah jam, kereta yang didapati hilang telah berjaya dikesan oleh pasukan URB dan kita dapat mengepung dan menahan kereta tersebut serta menahan seorang lelaki berusia 32 tahun, yang juga positif pil kuda dalam saringan awal urin," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Polis berjaya menumpaskan Geng Anuar yang dipercayai menyamun seorang warga emas dan melarikan jam tangan jenama Omega bernilai RM34,200, dua minggu lalu.
  • ALOR GAJAH - Penangkapan seorang lelaki yang mencuri wang tabung Masjid di Kuala Sungai Baru pada 12 September lalu, berjaya membongkar kegiatan kes kecurian 17 buah motosikal di daerah ini.
  • SKUDAI - Polis berjaya menumpaskan 14 kumpulan daripada 571 orang yang ditangkap menerusi Ops Bersepadu Jenayah Jalanan yang dijalankan pada 30 Ogos hingga 12 September lepas.
  • KAMPAR - Walaupun masih berusia 17 tahun, namun seorang remaja lelaki sudah berani menubuhkan kumpulan jenayah dikenali Geng Wan Tod yang aktif melakukan kegiatan pecah kedai telefon bimbit sekitar Gopeng, sejak Ogos lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.