KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Terengganu bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pengusaha kosmetik haram yang menjual produk secara atas talian.

Pengarahnya, Dr Mohammad Omar berkata, sehingga September tahun ini, sebanyak 37 unit peranti bernilai RM56,849 telah dirampas dalam 23 serbuan melibatkan digital (jenayah siber farmaseutikal) di negeri ini.

“Kita kini melalui unit penguatkuasaan farmasi menggandakan lagi usaha menggempur mana-mana pengusaha produk kosmetik dan penjual ubat-ubatan tidak berdaftar dan bernotifikasi yang menjalankan urus niaga secara atas talian.

“Justeru kita menyeru semua pihak agar memberikan kerjasama melaporkan sebarang kegiatan melibatkan jualan atau iklan produk kosmetik yang tidak mendapat perakuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada sidang media sempena Program Karnival Farmasi 2017 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Farmasi), Wan Noraimi Wan Ibrahim dan Penguat kuasa Farmasi, Mohd Zawawi Abdullah.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya telah merampas lebih 5,000 jenis produk kosmetik dan ubat-ubatan bernilai lebih RM2.5 juta dalam 162 serbuan dijalankan sejak 2015 hingga September 2017.

Katanya, bagi semua serbuan itu, sebanyak 162 kertas siasatan dibuka dan 100 individu/syarikat telah didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah dengan kutipan denda sebanyak RM324,200.

“Tahun ini sahaja sebanyak 56 serbuan dijalankan melibatkan rampasan sebanyak 984 jenis ubat-ubatan dan kosmetik bernilai RM1juta.

“Sesetengah produk yang dirampas mengandungi racun yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952 seperti steroid, merkuri, hydroquinone, sibutramine dan agen perangsang seks seperti sildenafil, tadalafil dan analog-analognya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad berkata, sejak 2015, sebanyak 11 buah premis yang menjalankan kegiatan suntikan kecantikan tanpa kelulusan KKM diserbu dengan nilai rampasan hampir RM80,000.

“Daripada jumlah itu, seramai enam orang telah didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM21,900. Untuk 2017 sahaja, sejumlah enam premis diserbu kerana menjalankan kegiatan serupa.

“Justeru, kita turut menjalankan pemeriksaan ke atas 1,941 premis yang menjual dan mengendalikan ubat-ubatan dan kosmetik bagi memastikan mereka tidak menyalahi undang-undang.

“Antara premis yang dipantau termasuk farmasi, klinik perubatan dan pergigian swasta, kedai runcit, kedai kosmetik, pasar malam dan lain-lain. Kita turut mengeluarkan amaran keras terhadap individu dan syarikat yang dikesan melakukan kesalahan itu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.