DUNGUN - Wang pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM9,000 diterima Norlida Ba’i, 49, selepas kematian adiknya disifatkan amat besar nilainya untuk dimanfaatkan bagi kegunaan anak-anak arwah.

Pampasan yang diterima adalah bagi kategori pencen penakat bagi arwah Noraliza Ba’i yang terkorban selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, Januari 2015.

Walaupun sudah meninggal dunia tiga tahun lalu, pampasan hanya diterima pada Ramadan lepas kerana permohonan baharu dibuat.

Selepas kematian wanita itu, tiga daripada lima anaknya yang berusia di antara 16 hingga 22 tahun dijaga Norlida.

Norlida berkata, dia sudah menganggap anak saudaranya itu umpama anak sendiri dan berusaha menggalas amanah tersebut dengan baik walaupun bukan orang senang.

“Sebelum ini saya tidak mohon pampasan Perkeso kerana tidak ambil tahu tapi memandangkan kos sara hidup makin tinggi, saya buat permohonan.

“Syukur kerana ada juga bahagiannya dan sebanyak RM9,000 dibayar untuk tempoh dia meninggal sehingga sekarang.

“Selepas ini, tiap-tiap bulan akan terima RM200 lebih dan ia amat berguna untuk menampung keperluan anak-anak arwah,” katanya.

Norlida berkata, walaupun dia seorang ibu tunggal, dia akan menjaga dan memantau keadaan anak-anak saudaranya sehinggalah mereka boleh berdikari.

“Salah seorang anak saudara yang berusia 20 tahun adalah Orang Kurang Upaya (OKU) lembam.

“Dia sekarang di bawah pemantauan saya, manakala dua lagi adiknya masih belajar,” katanya.

Katanya, dia tidak bekerja dan hanya dibantu dua anaknya tetapi itu bukan alasan untuknya menolak tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak arwah adiknya.

“Sepanjang menjaga anak-anak yatim ini, saya tidak mendapat sebarang bantuan dan bayaran pampasan dari Perkeso amat membantu kami,” katanya.