KUALA NERUS - Konsep tabarruk perlu diperluaskan lagi bagi memberi peluang lebih ramai golongan berada turut serta dalam program bersedekah sekaligus membantu meringankan beban rakyat tidak berkemampuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pendekatan melibatkan kaedah beli kemudian menderma dalam bentuk barangan itu secara tidak langsung mampu membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

"Bagi orang yang berkemampuan masa inilah mereka boleh menghulurkan bantuan melalui menderma pelbagai bentuk barangan.

"Jadi, saya haraplah 'tabarruk' iaitu suatu bentuk derma ikhlas yang diberikan oleh satu pihak dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain dapat dikembangkan lagi,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Pasar Tani Mesra Rakyat Gong Badak, semalam.

Jelas Ahmad Razif, melalui cara itu juga turut memberi lebih ruang dan peluang kepada golongan berada untuk menderma sekaligus membudayakan aktiviti amal.

Sementara itu, Pasar Tani Mesra Rakyat yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) turut menawarkan pengurangan harga barangan komoditi sehingga 20 peratus.

Inisiatif agensi kerajaan itu secara tidak langsung berjaya membuka satu lagi konsep untuk menyediakan jualan harga patut kepada rakyat.