ALUR LIMBAT - Penglibatan golongan muda secara menyeluruh bersama kerajaan dalam kerja kebajikan amat penting dan perlu digalakkan sejajar dengan konsep kebajikan tanggungjawab bersama.

Ketua Pemuda Cawangan Kubang Panjang, Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong berkata, walaupun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diwujudkan di setiap kampung, namun tidak bermakna golongan itu tidak perlu memberikan sumbangan.

Menurutnya, apabila membabitkan kepentingan masyarakat, semua pihak perlu berganding bahu seterusnya menyemarakkan lagi semangat kesukarelaan dalam kalangan masyarakat.

“Jadi, kita berharap golongan muda dapat bersama-sama memberikan khidmat dan menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan. Dalam soal kebajikan masyarakat, soal parti juga wajar diketepikan.

“Lebih ramai masyarakat turun padang memberi khidmat secara sukarela kepada golongan yang memerlukan bantuan, ia akan dapat menyelesaikan masalah dihadapi dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke rumah mangsa ribut di Kampung Kubang Panjang dan mengambil maklumat mengenai mangsa terlibat untuk diserahkan kepada pihak bertanggungjawab.

Wan Mohd Khairu berkata, pihaknya juga akan membantu pihak pengurusan kampung membaiki rumah penduduk di kampung berkenaan yang terjejas teruk akibat ribut yang melanda kawasan Dun Alur Limbat baru baru ini.

"Walaupun saya sendiri merupakan bekas pesakit kanser dan masih menjalani rawatan susulan namun masih bersemangat meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat memerlukan di Kampung ini," katanya.