KUALA TERENGGANU - Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan menjalankan perniagaan menggunakan trak atau Business on Truck khususnya dalam kalangan belia di negeri ini.

Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Noorul Husna A Rashid berkata, sehingga kini, terdapat 22 perniagaan trak makanan di Terengganu yang pelbagai termasuk burger bakar, minuman berjus, makanan barat di mana keunikannya tiada di kedai makan biasa.

"Dahulu, jika ingin membuka perniagaan, mereka memerlukan modal yang besar untuk mendapatkan sebuah kedai, malah perlu mencari lokasi sesuai untuk memulakan sesuatu perniagaan.

"Namun, konsep Business on Truck ini. selain tidak perlu memeningkan kepala memikirkan kos sewa bulanan premis, konsep ini juga membolehkan perniagaan ini dipromosikan kepada masyarakat di pelbagai tempat dan kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media 'Business on Truck Showcase' peringkat negeri Terengganu yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 September bertempat di perkarangan Mini Stadium Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Menurutnya, inisiatif kreatif itu wajar diketengahkan sebagai pilihan kepada golongan muda yang ingin memulakan perniagaan.  

“Kita juga komited untuk menggalakkan lebih ramai penglibatan dari kalangan belia khususnya.

"Konsep perniagaan menggunakan trak kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat terutamanya golongan belia di negeri ini.

“Ia menjadi trending yang bukan hanya makanan yang diniagakan, malah beberapa produk lain juga sesuai dengan peredaran masa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai aktiviti yang akan berlangsung seperti jualan dan pameran, seminar keusahawanan penyediaan sijil halal, pembelajaran, motivasi dan perkongsian ilmu serta pelbagai lagi acara sampingan sepanjang program tersebut.       

Menurutnya, inisiatif  kreatif ini wajar diketengahkan bagi pilihan kepada golongan muda yang ingin memulakan perniagaan.

Noorul Husna turut mengharapkan agar program Business On Truck itu dapat direalisasikan dan menjadi antara program yang memberi impak besar ke arah pembangunan belia dalam bidang keusahawanan.