KEMAMAN - [VIDEO] Seorang gadis bertukar menjadi popular sekelip mata selepas video keberaniannya meredah paras banjir yang dalam dengan menaiki pacuan empat roda tular di media sosial sejak Rabu lalu.

Video viral itu dirakam kira-kira jam 3 petang, Rabu lalu di Jalan Chukai - Air Putih dekat Jambatan Sungai Pinang ketika Zawati Mohamad, 27, yang juga Pegawai Khas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam perjalanan menghantar bantuan dari Pejabat Parlimen Kemaman kepada mangsa banjir di Kampung Pasir Gajah.

Rakaman video berdurasi 54 saat itu memaparkan Zawati yang memandu Toyota Hilux nekad meredah paras banjir sedalam 1.2 meter sejauh kira-kira 300 meter.

Sehingga jam 3 petang tadi, video berkenaan yang dimuatnaik di akaun Facebook gadis itu sebelum dikongsi laman Facebook Kemaman Tular telah mendapat tontonan sebanyak 200,000 kali dan 1,200 perkongsian.

Zawati berkata, dia terkejut videonya viral di media sosial, malah sejak tular, dia menerima permohonan 1,000 kenalan baru di akaun Facebooknya.

"Saya redah banjir demi tugas kerana pada awalnya saya ingatkan paras air tidaklah melebihi satu meter, namun bila tiba di tengah-tengah laluan yang tenggelam itu rupa-rupanya kedalamannya melebihi jangkaan saya.

"Semasa berada di tengah-tengah laluan itu air mulai masuk ke dalam Hilux saya, air masuk melebihi paras buku lali saya tapi nak tak nak saya kena terus ke depan sebab kalau undur lagi bahaya...mungkin Hilux saya boleh mati," katanya.

Zawati

Katanya, selepas berjaya melalui laluan itu, baharu dia menyedari aksinya meredah banjir dirakam oleh seorang lelaki yang berada di situ sebelum rakaman itu dikongsi bersamanya.

"Saya kemudian memuat naik video itu di akaun Facebook saya beberapa jam kemudian sebelum saya tahu video itu mulai viral pada waktu Maghrib hari yang sama selepas video itu dikongsi oleh laman Facebook Kemaman Tular.

"Niat saya berkongsi video itu dengan kenalan Facebook saya bukan untuk cari glamor tapi mahu pengguna jalan raya lebih berhati-hati.

"Saya bukan sengaja redah air dalam sebegitu tapi saya tersilap langkah dan saya harap ia dapat jadi pengajaran buat kita semua agar sentiasa utamakan keselamatan diri," katanya yang mengakui terdapat segelintir kecil netizen mengecam perbuatannya meredah banjir itu.

Katanya, Hilux yang dinaiki adalah kepunyaannya sendiri dan ketika kejadian sebuah lagi Hilux yang dinaiki rakan setugasnya mengekori di belakang kenderaannya itu.