DUNGUN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Terengganu menyasarkan hasil jualan sebanyak RM110 juta untuk operasi pasar tani 2018.

Sehingga kini terdapat 36 pasar tani di seluruh daerah di negeri ini, manakala 734 buah di seluruh negara.

Penyelaras Pasar Tani Negeri, Halmi Hamzah berkata, hasil jualan pasar tani menunjukkan peningkatan ketara dari tahun ke tahun.

"Pada 2015 hasil jualan pasar tani seluruh negeri mencecah RM 65 juta dan meningkat kepada RM 100 juta pada 2016.

"2017 nilai jualan mencapai RM 108 juta  dan kita sasarkan lebih tinggi untuk tahun ini.

"Bermula Januari hingga Ogos 2018, hasil jualan sudah mencecah RM 56.2 juta, "katanya kepada media ketika pelancaran Pasar  tani Sura Jetty , di sini, baru-baru ini.

Pasar tani Sura Jetty adalah pasar tani keempat di daerah ini dan satu-satunya beroperasi di sebelah petang pada setiap Rabu.

Hadir sama, Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai Fama Daerah Dungun, Sahrizan Mad Sarid.

Beliau berkata, bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan, pasar tani turut menawarkan harga lebih murah berbanding pasaran biasa.

"Harga pasar tani mesti lebih murah lima hingga 20 peratus daripada pasaran biasa.

"Sehari sebelum pasar tani dibuka, urusetia kita akan ke pasar awam berdekatan untuk meninjau harga dan memaklumkan kepada peserta.

"Kita juga letakkan tanda harga menunjukkan perbezaan harga di pasar tani dengan pasar awam.

"Contohnya di pasar awam harga ayam dijual dengan harga RM 6.20 sekilo, di pasar tani pula RM 5.70 sekilo.

"Petugas kita juga akan memantau harga dari semasa ke semasa bagi memastikan peserta mematuhi peraturan," katanya.

Jelasnya, pendapatan yang diperoleh peserta pasar tani setiap kali operasi juga agak memuaskan.

"Dalam masa terdekat beberapa lagi pasar tani akan dibuka di negeri ini dan diyakini bakal menjana pendapatan tambahan kepada peniaga.

"Sekali operasi peserta memperoleh pendapatan paling minima RM 400 hingga RM 600, manakala paling maksimum mencecah RM 1500,"katanya.