KUALA TERENGGANU - Enam individu termasuk seorang wanita ditahan dipercayai ejen judi haram bola sepak Piala Dunia 2018 membabitkan jumlah pertaruhan antara RM1,500 hingga RM5,000 sempena Op Soga 7.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, wanita berusia 35 tahun dan lima lagi individu lain berusia antara 18 hingga 36 tahun ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar daerah ini yang bermula pada 14 Jun lalu.

Beliau berkata, turut dirampas enam buah telefon bimbit dan wang tunai disyaki wang pertaruhan berjumlah RM3,275.

"Hasil risikan juga mendapati aktiviti tidak sihat itu dijalankan secara individu di premis perniagaan termasuk pusat hiburan dan tidak membabitkan sindiket besar di sekitar daerah ini manakala nilai pertaruhan ditetapkan bergantung kepada pasukan yang bertanding.

"Siasatan mendapati pertaruhan yang dibuat bernilai antara RM1,500 hingga RM5,000 yang mana aktiviti pertaruhan dijalankan secara atas talian menyebabkan kegiatan itu sukar dikesan," katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Aidi berkata, semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut  mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000, jika sabit kesalahan.

Katanya, ada antara suspek masih dalam tempoh reman manakala ada antara mereka dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu keputusan forensik terhadap barang rampasan yang dijalankan pihak pakar.

Sementara itu, sempena Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017,  seramai 292 penerima termasuk 81 orang daripada IPK Terengganu menerima sijil penghargaan yang diwakili oleh Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah masing-masing.