• Awang Tera mencuba produk makanan ringan yang dijual sempena Karnival Usahawan Terengganu 2013 di TTC, Kuala Terengganu. Awang Tera mencuba produk makanan ringan yang dijual sempena Karnival Usahawan Terengganu 2013 di TTC, Kuala Terengganu.
1 /

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mula mengeksport satu kontena keropok lekor atau sejumlah empat tan ke London, bermula Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang sangat baik kerana sebelum ini pihaknya hanya menghantar 10 hingga 20 kilogram sahaja.

“Memandangkan 13 hingga 18 buah restoran Malaysia ada di sana (London) menyediakan menu itu setiap hari, ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dan usaha ini akan dilakukan secara berterusan.

“Pembekal di sana juga orang Malaysia, senang kita berurusan iaitu melalui Persatuan Restoran-Restoran Malaysia, yang sepakat mempromosi, sekali gus menjual keropok lekor kepada masyarakat di London,” katanya pada Majlis Perasmian Karnival dan Forum Usahawan Terengganu di Dewan Konvesyen, Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik; Presiden Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Prof Emeritus Anuwar Ali dan Pengarah Kanan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), Datuk Dzulkifli Mahmud.

Pada majlis itu juga, YPU menandatangani Memorandum Perjanjian Kerjasama dengan OUM bagi Program Pendidikan dan Latihan Keusahawanan.
Menurutnya, begitu juga di Perth, Australia yang mempunyai dua buah Restoran T’Café, turut menyediakan menu keropok lekor dan nasi dagang.

“Kita sedang cuba membawa makanan tradisional ini secara beransur-ansur ke luar negara kerana kalau hendak dibuat secara besar-besaran, bimbang kita tidak berdaya.

“Mungkin suatu hari nanti, pengusaha keropok secara persendirian juga boleh melakukan perkara sama dengan mengeksport produk mereka ke luar negara,” katanya.

Namun kini, buat sementara waktu, anak syarikat YPU, Cakna Sdn Bhd yang sedang menjalankan urusan berkenaan.