DUNGUN - Penggunaan pukat gamat oleh nelayan Vietnam di perairan negara menjadi masalah berpanjangan yang membelenggu nelayan tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bukan sahaja memusnahkan ekosistem dan khazanah laut tetapi alat menangkap gamat yang digunakan itu turut menjejaskan pendapatan nelayan di negara ini termasuk di Dungun.

Pengerusi Persatuan Nelayan Daerah Dungun, Alauddin Ali berkata, apabila pukat gamat digunakan ia mencengkam hingga ke dasar laut menyebabkan ekosistem dan tempat pembiakan ikan musnah.

Menurutnya, keadaan itu satu masalah besar bagi nelayan tempatan dan jika dibiarkan ia akan menyebabkan kesan lebih buruk kepada pelaut, sekali gus mengurangkan hasil pendaratan ikan di negara ini.

“Nelayan Vietnam yang menggunakan pukat gamat biasanya beroperasi pada waktu malam dan dalam keadaan gelap.

“Alat menangkap gamat yang digunakan boleh diibaratkan seperti alatan membajak yang memusnahkan sumber maritim seperti batu karang dan hidupan laut lain," katanya.

Alauddin berkata, kelengkapan nelayan seperti unjang dan bubu yang dipasang nelayan zon A juga musnah serta rosak kerana penggunaan pukat gamat ini, sekali gus menyebabkan hasil tangkapan dan pendapatan terjejas.

“Masalah ini bukan perkara baru tetapi kita tak boleh mengatasi sendiri dan apa yang boleh dilakukan ialah dengan mengerat tali atau alat tangkapan digunakan itu sahaja.

“Nelayan asing juga bijak mengelirukan pihak berkuasa dan nelayan tempatan apabila berlabuh di lokasi lain serta meninggalkan sauh di tempat lain,” katanya.

GNN 2017 beri suntikan baharu

Katanya, walaupun masalah tersebut menjadi beban kepada nelayan tetapi mereka mendapat suntikan semangat baharu ketika program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 apabila Timbalan Perdana Menteri menyebut akan menjaga maruah laut dan perairan negara ini daripada pencerobohan pukat tunda oleh warga asing.

“Ketika GNN, masalah pencerobohan pukat tunda asing dipandang serius dan nasib nelayan tempatan akan dibela.

“Pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan terutama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan agensi berkaitan sentiasa bertungkus-lumus membantu kami," katanya.

Kata Alauddin, terbaru nelayan tempatan dibantu Maritim melakukan operasi untuk menangkap nelayan Vietnam yang menggunakan pukat gamat.

“Seramai 14 nelayan dan sembilan anggota Maritim menggunakan tiga bot enjin laut dalam dan tiga bot laju terlibat dalam operasi ini.

"Hasilnya tiga bot nelayan Vietnam ditahan. Walaupun tahanan ini kecil jika dibandingkan keseluruhan nelayan asing yang membuat onar tetapi kami nelayan mampu menarik nafas lega," katanya.

Tambahnya, diharap usaha berkenaan menjadi titik tolak kepada operasi seterusnya dalam usaha membanteras penggunaan pukat gamat yang secara nyata membawa banyak keburukan.

“Bukan masalah itu sahaja, diharapkan semua nelayan bertolak ansur dan tidak menceroboh zon-zon yang telah ditetapkan ketika menangkap ikan.

“Malah nelayan tempatan perlu bekerjasama khususnya dalam menyekat pencerobohan nelayan asing,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :