KUALA TERENGGANU – Musim tengkujuh tahun ini menyaksikan daerah Dungun menjadi lokasi pertama di Terengganu yang dilanda banjir melibatkan pemindahan mangsa banjir terawal seramai 42 orang sehingga jam 5 petang ini.

Kesemua mangsa terdiri daripada 27 kanak-kanak, sembilan lelaki dan 19 perempuan daripada 12 buah keluarga mula dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) itu sejak malam tadi hingga jam 10 pagi hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa banjir dijangka meningkat sekiranya hujan lebat dan cuaca berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini.

“Satu sahaja PPS yang dibuka setakat ini iaitu Pusat Sivik Seberang Pintasan di Dungun dan ia adalah daerah pertama dilanda banjir bagi monsun timur laut.

“Namun, jika mengikut maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga hari ini, akan berlaku peningkatan paras air di sungai utama di Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Sementara itu, JPS menerusi satu kenyataan hari ini mengeluarkan amaran banjir yang dijangka berlaku bermula jam 10 malam ini di daerah Hulu Terengganu dan Setiu.

Situasi itu berdasarkan laporan dikeluarkan MetMalaysia semalam berkenaan peningkatan paras air sungai ekoran hujan berterusan melanda negeri ini sehingga esok.

Menurut kenyataan itu, Sungai Telemong di daerah Hulu Terengganu dijangka mengalami peningkatan paras air selain Sungai Nerus di Setiu dan melibatkan beberapa kampung termasuk Kampung Basung, Kampung Teris, Kampung Tok Lawit, Kampung Tengkawang, Kampung Kuala Ping dan Kampungg Kepah.

Selain itu, bagi Sungai Nerus pula melibatkan Kg Langkap dan Kg Merbau Menyusut serta beberapa kawasan sekitarnya.

Selain itu, banjir juga diramalkan berlaku esok bermula jam 11 pagi melibatkan Kampung Matang, Kampung Nibong, Kampung Paloh Nyior dan Kampung Bukit Tadok akibat limpahan air sungai Telemong.