DI Dun Rhu Rendang, Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, beberapa bidang tertentu termasuk pendidikan turut difokuskan di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga bekas calon PRU13 di Dun Rhu Rendang percaya, pembangunan di Dun berkenaan akan terus berkembang walaupun dikuasai pembangkang sejak sekian lama.

Menurutnya, kepesatan pembangunan di Dun Rhu Rendang mula menyerlah melalui perancangan tersusun yang terus dipacu secara berperingkat sehingga mengubah landskap asalnya.

"Perkembangannya kini setanding dengan pusat pentadbiran daerah lain setelah dicorakkan dengan pelbagai projek pembangunan fizikal dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

"Ia termasuklah kewujudan pusat pertumbuhan melalui pembinaan premis perniagaan dan penubuhan kampus institusi pengajian tinggi, selain projek perumahan," katanya.

Menurutnya, Marang semakin menyerlah sebagai hab pendidikan Universiti UCSI, Kolej Tesdec dan bakal disusuli dengan kampus terbesar, Universiti Malaysia Terengganu di Bukit Kor melibatkan kawasan seluas 242 hektar.

Pembangunan pendidikan dimantapkan lagi dengan bermulanya projek Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di kawasan Mukim Rusila, membabitkan kos RM8.3 juta yang dijangka siap tahun depan.

“Marang akan berubah wajah dan kerajaan komited memajukan daerah ini. Semua ini dilakukan demi rakyat yang perlu mendapatkan hak mereka untuk menikmati pembangunan,” katanya.

Nik Dir berkata, bagi tujuan sama, Kerajaan Terengganu turut berhasrat menjadikan Marang sebagai sebuah daerah pelancong, sejajar dengan lokasi daerah berkenaan yang strategik.

Menurutnya, keindahan alam semula jadi telah mendorong pertambahan kehadiran pelancong di daerah ini, menjadikannya salah satu destinasi pelancongan utama di Terengganu.

Pembangunan sektor itu diberi penekanan oleh kerajaan bagi menarik penglibatan meluas masyarakat termasuk melalui perkhidmatan sokongan dengan penyediaan prasarana dan program pengindahan.

“Pusat rekreasi di Pulau Kekabu antara contoh yang baik untuk dilihat, keindahan di Pulau Kapas juga antara lokasi pelancongan menarik selain bandar Marang menjadi pusat bandar daerah ini,” katanya.