JERTIH - Seorang guru sekolah rendah yang juga abang kepada pemain badminton negara, Roslin dan Hafiz Hashim kini menderita penyakit saraf sejak dua tahun lalu.

Isterinya, Huzaimah Maslim, 52, berkata, suaminya, Mohd Rosdi Hashim, 49, disahkan menghidap penyakit otot dan saraf mengecut atau Motor Neuron Disease (MND) pada 2015 apabila lidahnya menjadi keras kemudian tidak mampu bertutur dengan baik.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, anggota badan suaminya seperti tangan menjadi lemah manakala leher turut keras dan sukar digerakkan.

"Keadaan jadi lebih teruk hingga dia tak mampu pegang sudu dan makan sendiri.

"Tapi suami masih boleh gagahkan diri untuk berjalan jarak dekat," katanya.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Luas itu berkata sedemikian ketika kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri merangkap Adun Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof bersama rombongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut di rumahnya di Kampung Lau Out Padang Luas, semalam sempena Sambutan Hari Guru yang bakal disambut 16 Mei depan.

Huzaimah berkata, suaminya yang merupakan guru SK Tok Motong mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan namun pihak hospital menyatakan penyakit suaminya jarang berlaku dan tidak ada ubat khusus merawat penyakit tersebut.

"Kami tak putus asa nak rawat suami supaya dia sembuh sekurang-kurangnya dapat kurangkan deritanya," katanya.

Katanya, suaminya itu tidak dapat menguruskan diri sendiri dengan sempurna terutama untuk mandi.

"Tahun lepas dan tahun sebelumnya dia masih boleh pergi sekolah tapi tahun ini dia makin lemah.

"Sekarang pun dia dalam proses untuk berhenti sebab sakit," katanya yang mempunyai tujuh anak berusia 8 hingga 24 tahun yang mana lima masih belajar.

Katanya, bukan sahaja pertuturan Mohd Rosdi tidak jelas, tetapi dia juga tidak boleh bercakap lama atau banyak bergerak kerana mudah letih.

Tambahnya, suaminya sudah berkhidmat sebagai guru di dua buah sekolah selama 27 tahun iaitu di SK Pusat Jertih dari 1990 hingga 2004 sebelum bertukar ke SK Tok Motong dari 2005 hingga sekarang.

"Berbeza dengan adiknya Roslin dah Hafiz yang main badminton, suami waktu muda dan sihat dulu minat bola sepak dan pernah wakili Kolej Sultan Ismail (SIC) tempat dia belajar dulu.

"Suami anak sulung daripada 10 beradik. Roslin anak kelima, Hafiz kelapan," katanya bercerita mengenai suaminya yang berasal dari Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan tetapi membina rumah dan menetap di sini.

Kata Huzaimah lagi, walaupun doktor memberitahu tidak ada ubat untuk merawat suaminya tetapi dia tetap berusaha membawa suaminya menjalani rawatan alternatif termasuk kaedah akupuntur.

"Sebelum buat rawatan itu, leher suami keras dan tak dapat gerak. Tapi lepas buat, ada sikit perubahan.

"Saya akan berusaha merawatnya dengan apa cara sekalipun termasuk terapi fizikal agar dia selalu bergerak untuk elak keadaan lebih teruk," katanya yang berasal dari Hulu Langat, Selangor.

Sementara itu, Muhammad Pehimi berharap keluarga Mohd Rosdi tabah dengan dugaan dihadapi dan berharap warga pendidik dan bekas muridnya tidak melupakan insan yang pernah menabur jasa dalam melahirkan anak bangsa.

“Jasa beliau sungguh besar sejak dia menjadi guru dan murid sulungnya kini sudah berusia 27 tahun dan golongan seperti ini jalan dilupakan.

“Justeru itu kepada bekas murid di mana-mana sekolah sekalipun jangan lupa ziarah bekas guru masing-masing sekira kita mengetahui keadaan mereka yang uzur kerana kunjungan kita sekurang-kurangnya memberi semangat kepada bekas guru,” katanya.

Beliau juga meminta keluarga Mohd Rosdi tidak berputus asa untuk merawat insan istimewa itu kerana mungkin setakat ini belum berjumpa penawarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :