KUALA TERENGGANU - Dua remaja yang ditahan selepas didakwa menyamun sebuah kedai serbaneka di Bandar Permaisuri, Setiu, dengan menggunakan sebilah pedang dan pisau pada 8 Oktober lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Muhammad Afif Shahmi Mohd Amin, 19, dan Mohamad Syafiq Rusli, 19, dari Bandar Permaisuri, Setiu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun berkumpulan menggunakan senjata.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan rompakan berkumpulan pada 8 Oktober lalu, kira-kira jam 4.30 pagi di kedai serbaneka 7-Eleven Bandar Permaisuri, Setiu, dengan melibatkan kerugian wang tunai RM47 dan lapan kotak rokok pelbagai jenis.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa menggunakan senjata iaitu sebilah pedang dan sebilah pisau yang boleh mendatangkan kecederaan atau kematian terhadap mangsa, Muhammad Izahar Gazman, 24, iaitu salah seorang pekerja yang bertugas semasa kejadian.

Dengan itu, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Nor Randeran di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua-duanya direkodkan, mahkamah menetapkan 6 November depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam, selain tidak menawarkan sebarang jaminan kerana faktor keselamatan mangsa.

Sebelum ini, akhbar ada melaporkan tindakan pantas polis berjaya menggagalkan dua lelaki menikmati hasil samun selepas salah seorang daripada mereka terlebih dahulu berjaya diberkas di kedai serbaneka yang disamun.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR LINTANG - Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjatakan pisau dan alat renjatan elektrik di rumah mereka, pagi semalam, yang menyebabkan kerugian kira-kira RM30,000.
  • KEPALA BATAS - Polis menahan lapan individu termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan berhubung kes samun jongkong dan rantai emas yang berlaku pada 25 September lalu di hadapan sebuah kilang memproses emas di Jalan Siram
  • KAJANG - Polis berjaya memberkas seorang suspek berhubung kes samun seorang lelaki di Jalan Cheras Perdana, Bandar Tun Hussein Onn, di sini, awal pagi semalam.
  • GEMAS - Imej seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan sebuah kedai barangan kucing sebelum menyamun telefon bimbit dan dompet pembantu kedai berkenaan di Dataran Satria, di sini, dalam kejadian minggu lalu kini tular sejak kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.