DUNGUN - Dua maut termasuk kanak-kanak berusia 11 tahun dalam nahas jalan raya di Kilometer 334.3 Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2) berhampiran susur keluar tol Paka, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi kenderaan  dipandu Mohamad Nor Mohammad, 28 dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan.

Kereta jenis proton Wira dipandu mangsa berpusing dan terbalik beberapa kali menyebabkan Syed Namirun Putra Syed Khairul Hisyam, 11, yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar.

Mohamad Nor yang memandu kenderaan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu turut tercampak keluar dan terbunuh akibat kecederaan serius.

Mayat salah seorang mangsa diangkat untuk dibawa ke Hospital Dungun.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, bapa mangsa, Syed Khairul Hissham Md Akhir, 45, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan terselamat tetapi turut mengalami kecederaan parah.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) turut dikejarkan ke lokasi bagi membantu salah seorang mangsa yang tersepit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Jaswari Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemesan pada jam 11.47 pagi.

"Seramai tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

"Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi, kesemua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam.

"Dua mangsa iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Mayat Mohamad Nor yang beralamat dari Felda Keratong 02 dan Syed Namirun Putra dari Felda Keratong 09 dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sewaktu kejadian, Khairul Hissham bersama anak keduanya itu dalam perjalanan menuju ke UITM Dungun untuk mengambil anak sulongnya, Syarifah Filzatun Athirah, 20.

Dia yang juga kakitangan Jabatan Perhilitan Muadzam Shah meminta rakannya, Mohamad Nor untuk membawa mereka dua beranak ke institut pengajian itu sebelum insiden malang berlaku.