JERTIH - Universiti Putra Malaysia (UPM) akan melaksanakan kajian dan inovasi untuk menghasilkan dron yang menggunakan kos lebih rendah bagi penggunaan di sektor pertanian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, beliau dimaklumkan universiti terbabit dalam usaha untuk menghasilkan sendiri dron untuk tujuan pertanian bagi mengatasi masalah dron di pasaran yang harganya agak tinggi.

Menurutnya, bahagian kejuruteraan UPM sedang giat melakukan kajian untuk menghasilkan bukan sahaja dron yang mampu dimiliki petani tetapi efektif dan berteknologi tinggi.

“Saya difahamkan harga dron untuk sektor pertanian di pasaran agak tinggi iaitu sekitar RM60,000 seunit dan sekiranya UPM dapat menghasilkan dengan harga yang lebih rendah sudah tentu ia memberi manfaat besar kepada bidang pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan demonstrasi penggunaan dron di  sawah padi oleh UPM di Kampung Gong Guchil, di sini.

Idris berkata, usaha UPM mengimplikasi teknologi dron dalam tanaman padi mampu meningkatkan pengeluaran hasil.

“Projek perintis ini dijalankan di kawasan IADA KETARA Besut yang membabitkan  200 petani  yang  menanam padi  dari variasi PadiU Putra hasil penyelidikan UPM di kawasan  seluas 200 hektar,” katanya.

Idris berkata, dron yang digunakan UPM sekarang bukan sahaja  berupaya merakam imej kawasan seluas 140 sehingga 950 hektar dalam tempoh satu jam penerbangan tetapi dapat menggantikan manusia dalam melakukan kerja menabur benih, membaja dan meracun.

Menurutnya, penggunaan dron ternyata dapat menjimatkan masa dan kos jangka masa panjang terutama bagi pesawah yang mengusahakan tanaman sawah yang luas.