KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga berputih mata apabila menanggung kerugian lebih RM20,000 selepas ditipu sebuah syarikat pembekal tepung soya yang hanya diketahui kewujudannya melalui laman sosial.

Kejadian berlaku selepas lelaki berusia 64 tahun dan berasal dari Chalok, Setiu,membuat pesanan untuk membuat makanan ikan menerusi senarai pembekal di dalam laman sosial, pada 12 Ogos lalu.

Menurut sumber, teruja melihat tawaran harga murah dari syarikat yang beroperasi di Kota Kinabalu, Sabah, mangsa bersetuju sebelum berurusan dengan seorang lelaki berpangkat Dr.

"Sejurus menyuarakan persetujuan untuk membeli sebanyak 20 tan tepung soya, keesokan hari (21 Ogos), mangsa diarahkan membuat pembayaran RM7,000 ke dalam sebuah akaun bank diberikan.

"Sekali lagi, pada 23 Ogos lalu, mangsa diarahkan membayar hampir RM13,000 ke akaun yang sama sebelum dijanjikan barang ditempah akan diterima pada atau sebelum 31 Ogos lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Sumber berkata, tanpa sebarang keraguan, mangsa hanya mematuhi arahan diberikan dengan harapan barang-barang ditempah akan tiba pada waktu dijanjikan.

"Bagaimanapun, sehingga semalam (6 September), barang dijanjikan itu masih tidak diterima tanpa menerima sebarang maklum balas dari syarikat berkenaan.

"Mangsa cuba menghubungi syarikat terbabit melalui talian, aplikasi WhatsApp dan emel yang biasa dihubungi sebelum ini tetapi semuanya tiada jawapan," katanya.

Jelas sumber lagi, yakin dirinya sudah ditipu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya selain mengharapkan duitnya dikembalikan semula.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.