KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki patah tangan selepas diserang tiga individu tidak dikenali kerana disyaki mencuri durian, dalam kejadian di sebuah dusun durian di Manir, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, mangsa berusia 30 tahun difahamkan pergi ke dusun durian berkenaan bersama seorang lagi rakannya selepas selesai menangkap ikan di sungai berhampiran.

Menurut sumber, mangsa tanpa syak masuk ke kawasan tersebut kerana rakannya itu mengaku dusun berkenaan adalah milik keluarganya.

"Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, mereka dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki tidak dikenali yang mana dua daripadanya terus bertindak menetak tangan mangsa menggunakan parang dibawa.

"Seorang lagi bertindak memukul mangsa menggunakan kayu yang sengaja dibawa tanpa belas simpati, manakala rakan mangsa bernasib baik apabila sempat melarikan diri.

"Ketiga-tiga suspek difahamkan bertindak sedemikian kerana bengang mangsa menceroboh masuk kawasan dusun milik mereka dan mendakwa sebelum ini, dusun tersebut sudah beberapa kali diceroboh, malah hasilnya tidak pernah sesekali 'dinikmati'," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, mangsa yang cedera parah di tangan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bagi mendapatkan rawatan, bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Susulan kejadian, abang mangsa berusia 36 tahun yang tidak berpuas hati dengan perbuatan itu mengambil keputusan membuat laporan polis, semalam, untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis Manir, di sini.

Katanya,siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.