KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dari Marang dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini, semalam atas 16 pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Amir Mohd Layi, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan.

Dia berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, serta Seksyen 5 akta sama.

Di Mahkamah Sesyen 1, tertuduh didakwa atas enam pertuduhan membabitkan lima kanak-kanak perempuan berusia antara lapan hingga 12 tahun di beberapa lokasi di Kuala Terengganu dan Marang antara 1 Januari 2017 hingga 5 Mac 2018.

Mohammad Amir yang juga penganggur didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak berkenaan termasuk pornografi, menyentuh buah dada dan kemaluan mangsa, memaksa mangsa menyentuh kemaluannya dan melakukan seks oral terhadap tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Ab Rahman di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh didakwa atas empat pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh dan 11 tahun di dua sekolah berasingan di Rusila dan Kelulut, Marang antara 10 Julai 2017 hingga 18 Januari 2018.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mohammad Amir turut didakwa terhadap enam lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen 3.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap lima kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 10 tahun di beberapa lokasi di Marang dan Kuala Terengganu antara 25 Februari 2017 hingga 26 Februari tahun ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara masing-masing tidak lebih 30 dan 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim ketiga-tiga mahkamah kemudian menetapkan 22 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.