MARANG  - Pemuda Umno Marang mendesak  Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Naib Ketuanya, Mohd Zafpri Daud berkata, tindakan perlu diambil terhadap Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu kerana memburuk-burukkan Malaysia kepada negara luar.

Menurutnya, Pemuda Umno Marang membuat laporan polis mengenai video viral membabitkan Waytha Moorthy yang telah membuat kenyataan memburuk-burukkan Malaysia.

“Laporan dibuat disebabkan kenyataan palsu menteri itu memfitnah Malaysia dengan menyebarkan kenyataan palsu,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan di Balai Polis Marang, di sini.

Beliau berkata, kenyataan Waytha Moorthy itu juga mendakwa kerajaan menindas sebahagian kaum India di Malaysia dengan merobohkan kuil-kuil hindu dan menafikan hak asasi kaum itu.

Menurutnya, ia menggambarkan seolah-olah Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan teruk kepada kaum-kaum dan penganut agama lain di negara ini.

"Sehingga kini beliau juga tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat yang dilakukan beliau sebagaimana yang telah ditularkan melalui video berdurasi 2 minit 39 saat itu.

"Kami percaya ucapan demikian berniat menghasut, membangkitkan rasa benci dan menimbulkan ketegangan antara kaum seterusnya akan mengancam keselamatan negara," katanya.

Pemuda Umno Marang juga membuat laporan itu agar pelaku di dalam video berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang sedia ada berkaitan.