KUALA TERENGGANU - Ibarat ketagih menderma darah, seorang pesara tentera akan berasa pening dan tidak selesa jika tidak menderma darah yang sudah menjadi rutin amalannya sejak tahun 1982.

Ibrahim Abd Ghani, 56, yang kini bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berkata, dia menderma darah sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Sehingga kini, dia sudah menderma darah hampir 108 kali dan kerap menyertai program derma darah di sekitar Kuala Terengganu.

“Saya mula menderma darah semasa berkhidmat sebagai tentera dan ia menjadi rutin saya untuk menderma darah setiap tiga bulan sehinggalah sekarang. Saya memiliki darah jenis O dan kita sedia maklum darah O boleh diberikan kepada semua kategori, jadi apa salahnya saya membantu mereka yang memerlukan.

“Saya akan rasa pening dan tidak selesa jika tidak menderma darah. Sebab itu jika ada peluang, saya akan pergi untuk derma darah,” katanya ketika ditemui pada Kempen Derma Darah Demi Terengganu yang diadakan di Primula Beach Hotel, di sini.

Program tersebut anjuran Primula Beach Hotel, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) dan Mc Donald’s Kuala Terengganu, dengan kerjasama Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dalam usaha memupuk kesedaran orang ramai tentang kebaikan menderma darah.

Seorang penderma darah, Khairul Azlam Mohamad, 47, yang juga Ahli Jawatankuasa Kawat berkata, dia terpanggil untuk menderma darah kerana sedia maklum darah jenis O sesuai untuk semua.

“Boleh dikatakan setiap tahun, saya tidak akan melepaskan peluang untuk menderma darah. Ia saya anggap tanggungjawab kepada masyarakat kerana saya percaya sedikit sebanyak ia boleh membantu mereka yang sangat memerlukan.

“Darah yang kita dermakan itu boleh membantu insan memerlukan dan saya anggap apa yang saya lakukan ini sebagai amal jariah selain baik untuk kesihatan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Ibarat ketagih menderma darah, seorang pesara tentera akan berasa pening dan tidak selesa jika tidak menderma darah yang sudah menjadi rutin amalannya sejak tahun 1982.
  • MARANG - Sebanyak 78 pain darah berjaya dikumpulkan dalam tempoh lima jam pada Kempen Derma Darah anjuran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, Marang, di sini.
  • BENTONG - Jawatankuasa Rayuan Derma Darah /HIV Aids dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Negeri Pahang telah menganjurkan Program Sehari Bersama Masyarakat kelmarin, bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di daerah ini.
  • PERMAISURI - [VIDEO] Seorang anggota bomba menderma darah lebih dari 100 kali sejak 2003 lagi.