PERMAISURI - [VIDEO] Seorang anggota bomba menderma darah lebih dari 100 kali sejak 2003 lagi.

Saiful Anuar Ramli, 39, yang kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Setiu berkata, dia mula menderma darah ketika bertugas di Selangor.

Menurutnya, dalam kebombaan dia dilatih menjadi sukarela untuk menderma darah tetapi lama kelamaan ia menjadi hobi.

"Masa di Selangor dulu, dua bulan sekali saya akan cari tempat derma darah atau hospital untuk menderma.

"Saya juga selalu dijemput oleh pihak kesihatan untuk menderma darah," katanya ketika ditemui di Hospital Setiu.

Saiful Anuar berkata, paling lama dia berehat untuk tidak menderma darah ialah enam bulan sahaja dan selepas itu dia akan rasa teringin untuk menderma semula.

"Memang tak senang duduk kalau tak derma darah dalam masa enam bulan.," katanya.

Bagaimanapun, dia akan menderma darah dua bulan sekali di mana-mana lokasi derma darah.

Ditanya apa perubahan atau kelebihan baginya apabila menderma darah, Saiful berkata, dia jarang mengalami sakit yang lama seperti demam dan sebagainya.Sebaliknya, dia berasa seperti memiliki tubuh badan yang baru serta segar selepas menderma darah.

“Rasa ringan tubuh, tak ada sakit kepala, sakit urat semua tu langsung tak rasa bila selalu derma darah.

"Ada yang berpandangan negatif pasal derma darah ini. Tapi sebenarnya salah. Derma darah sihatkan badan sebab darah lama ditukarkan kepada darah baru," katanya.

Saiful berkata, dengan menderma darah, dia boleh membantu nyawa orang lain yang memerlukan.

"Saya kerja dalam pasukan bomba dan pelbagai peristiwa saya lalui termasuk bantu mangsa kemalangan dan sebagainya.

"Mereka yang terlibat kemalangan banyak hilang darah," katanya. Sementara itu, seorang Pegawai Perubatan, Dr Muhammad Zaky Ab Halim berkata, sesiapa sahaja boleh menderma darah asalkan mereka sihat tubuh badan.

“Walau siapa pun kita, tinggi mana pun pangkat kita, derma darah ini penting bagi menyelamatkan nyawa seseorang.

“Mana tahu suatu masa nanti darah yang kita derma ini digunakan untuk saudara mara kita sendiri, itu semua kita tak boleh jangka,” katanya.

Zaky berkata, masyarakat perlu membuang persepsi menderma darah membazir kerana tidak sepatutnya sebagai manusia berfikiran macam itu.

"Di Malaysia saban hari berlaku kemalangan dan mangsa ini memerlukan banyak darah, sebagai rakyat prihatin kita perlu bantu mereka dengan menderma darah,"katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Ibarat ketagih menderma darah, seorang pesara tentera akan berasa pening dan tidak selesa jika tidak menderma darah yang sudah menjadi rutin amalannya sejak tahun 1982.
  • KUALA TERENGGANU - Ibarat ketagih menderma darah, seorang pesara tentera akan berasa pening dan tidak selesa jika tidak menderma darah yang sudah menjadi rutin amalannya sejak tahun 1982.
  • MARANG - Sebanyak 78 pain darah berjaya dikumpulkan dalam tempoh lima jam pada Kempen Derma Darah anjuran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, Marang, di sini.
  • BENTONG - Jawatankuasa Rayuan Derma Darah /HIV Aids dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Negeri Pahang telah menganjurkan Program Sehari Bersama Masyarakat kelmarin, bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di daerah ini.