DUNGUN - Tidak dapat dibayangkan betapa sakitnya terjatuh ke dalam air gula yang sedang menggelegak tetapi itulah musibah buruk yang menimpa dua beranak sehingga menyebabkan kedua-dua mereka melecur teruk.

Dalam kejadian Mac lalu, seorang lelaki, Mohammad Firdaus Al-Akmal Mohammad Asri, 34 melecur 80 peratus apabila dia tiba-tiba diserang sawan menyebabkannya rebah di dalam periuk besar mengandungi air gula yang sedang mendidih.

Ibunya, Hasmah Yaacob, 62 yang cuba membantu mangsa turut terkena tumpahan air gula ketika cuba membantu mangsa menyebabkannya juga melecur teruk di bahagian kaki.

Sudah berbulan berlalu tetapi kecederaan akibat melecur masih tidak sembuh, bahkan Muhammad Firdaus masih dirawat di hospital Sutanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dibenarkan pulang sekejap sahaja.

Hasmah berkata, sewaktu kejadian Muhammad Firdaus terkena serangan sawan menyebabkannya rebah ke dalam periuk air gula.

Menurutnya, melihat anaknya menggelupur di dalam air gula dia bergegas menarik tetapi kudratnya tidak kuat sehinggakan mereka terjatuh ke bawah dan air gula tumpah.

"Anak saya memang ada penyakit sawan dan apabila menyerang dia tidak sedar apa yang sedang berlaku.

"Kebetulan dia lalu di tepi periuk besar yang mengandungi 30 kilogram air gula.

"Waktu itu juga dia diserang sawan dan rebah di dalam periuk.

"Saya lihat dia bagaikan berenang di dalam air gula panas tetapi ketika itu dia tidak rasa sakit kerana diluar sedar.

"Saya bergegas cuba menariknya tetapi kudrat tidak kuat menyebabkan periuk berisi air gula tumpah.

"Sakitnya hanya tuhan yang tahu tetapi ketika itu saya lebih fikirkan dia yang sudah terkena air gula dari paras dada ke bawah," katanya.

Hasmah (kanan) kini masih belum sembuh sepenuhnya.

Masih terbayang kulit anak tertanggal

Katanya, air gula yang dimasak adalah untuk kegunaan berniaga air di pasar malam tetapi tidak sangka pula boleh menyebabkan mimpi ngeri buat mereka berdua.

"Saya masih terbayang dia melurut-lurut kulit yang sudah melecur terkena air gula.

"Ketika itu dia tidak rasa apa-apa dan selepas sedar baharulah dia terasa betapa sakitnya.

"Ketika itu juga hanya tinggal kami berdua di rumah dan hanya selepas itu suami saya membawa kami ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke HSNZ, "katanya.

Selepas tiga bulan berlalu, Muhammad Firdaus yang juga seorang duda anak dua dijangkakan akan mengambil masa bertahun untuk sembuh.

"Hari raya baru-baru ini dia dibenarkan pulang tetapi perlu ditahan semula di wad.

"Begitu juga sekarang, hanya kadang-kadang dibenarkan pulang.

"Penyakit sawannya itu bukan sejak dari kecil tetapi hanya berlaku sejak beberapa tahun lepas hinggalah ke tahap paling teruk.

"Sejak dia diserang sawan memang saya tidak pernah tinggalkannya bersendirian dan sebelum ini dia membantu saya serta suami berniaga minuman di pasar malam," katanya.

Mangsa melecur 80 peratus daripada paras dada hingga kaki.

Usaha bantu mangsa melecur

Kata Hasmah, anaknya itu tidak mendapat sebarang bantuan dan pihak keluarga dalam proses memohon kad OKU di JKM untuknya.

"Keadaan kaki saya juga dijangkakan akan sembuh dalam setahun lagi tapi yang lebih dibimbangkan keadaannya.

"Diharapkan anak saya terus tabah dan pulih dalam kadar segera walaupun ia agak mustahil," katanya.

Prihatin terhadap nasib dua beranak itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pasar Minggu dan Pasar Malam (Keppamin) daerah Dungun, Hassan Abd Aziz bersama rombongan mengambil peluang menziarah keadaan dua beranak itu di kediaman mereka di Kampung Paya Balai Besar.

Bagaimanapun, Muhammad Firdaus tiada di rumah kerana masih ditahan di HSNZ.

Hassan berkata, pihak persatuan berusaha membantu Hasmah dan anaknya serta bayaran pampasan untuk insurans pelan perlindungan kemalangan diri sedang diusahakan.

"Memandangkan mangsa adalah ahli persatuan, kami membayar RM 20 setiap hari untuk tempoh sebulan sepanjang Mohd Firdaus ditahan di wad.

"Borang tuntutan insurans kelompok sebagai ahli juga sudah diisi dan kita berharap pihak bank boleh percepatkannya.

"Kedagangan kali ini juga adakah untuk menghulur sedikit sumbangan dari pihak persatuan dan mewakili Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli," katanya.

Kerana keadaannya yang uzur, Muhammad Firdaus kini hilang punca pendapatan dan hanya bergantung kepada keluarga.

Bagi sesiapa yang ingin menghukurkan bantuan bagi meringankan beban dua beranak ini boleh salurkan ke akaun Agro Bank 2-00-6551-00008758-6 atas nama Hasmah Yaacob.