DUNGUN - Dua rumah di Felda Kerteh 1, Ketengah Jaya, di sini, berdepan masalah mendapan tanah yang teruk apabila bahagian belakang kediaman terbabit runtuh, kelmarin.

Penghuni rumah, Awi Mohd Nong, 54, berkata, mereka sekeluarga dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat secara bertalu-talu dan apabila di periksa didapati kaki lima di belakang rumah sudah runtuh.

Menurutnya, dia bersama isteri dan lapan orang anak tidak lena tidur memikirkan keadaan itu.

“Dentuman kuat berlaku kira-kira jam 8.30 malam semalam (kelmarin) dan ketika itu saya berada di ruang tamu. Dentuman ini diiringi dengan benda-benda jatuh menyebabkan kami kecut perut.

“Sejak 15 tahun tinggal di sini tidak pernah kejadian seperti ini berlaku dan ia terjadi kerana hujan  berterusan sejak kebelakangan ini," katanya.

Awi berkata, sebelum ini bahagian dapur dan bilik air retak pada bahagian dinding tetapi dia tidak menyangka mendapan teruk boleh terjadi.

“Habis semua pokok-pokok pisang, kelapa dan tanaman lain serta reban ayam terjunam ke bawah.

“Sekiranya hujan masih lagi berlarutan, memang kami akan rasa lebih takut dan tidak mustahil rumah kami akan runtuh,” katanya kepada pemberita.

Rumah jirannya, Wan Aziz Wan Long, 56, turut terjejas akibat kejadian itu dan bahagian bilik air rumahnya kini tergantung.

“16 tahun saya tinggal di sini dan tidak pernah berhadapan bahaya seperti ini. Jika berlaku sikit lagi mendapan dan hakisan, memang rumah kami akan menyembah bumi.

“Keadaan rumah yang dibina di kawasan seperti cerun dan lereng bukit yang ditambun menyebabkan musibah ini terjadi, tambahan pula sekarang musim hujan," katanya.

Katanya, dia sekeluarga bimbang kejadian lebih buruk akan terjadi.

"Saya amat berharap rumah kami dapat diselamatkan,” katanya.

Tindakan segera diambil

Manakala, Pengurus Felda Kerteh 1, Annuar Ibrahim berkata, selain tindakan awal bagi mengelak mendapan lebih teruk, satu kaedah lebih baik sedang dibincangkan bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Buat masa sekarang kita gunakan kanvas untuk menutup kawasan yang terjejas dan menutup lokasi terhakis supaya tidak terkena air hujan.

“Tindakan serta-merta telah dilakukan dan untuk langkah selanjutnya kita sudah menghubungi pihak pengurusan supaya mereka menghantar jurutera untuk menilai sendiri keadaan di sini," katanya.

Katanya, buat masa ini, hanya dua rumah berada dalam keadaan bahaya dan perlu diberi keutamaan.

“Langkah seterusnya kita akan bincang supaya penyelesaian terbaik dapat diambil, sekali gus memberi jaminan keselamatan kepada penduduk terjejas,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dun Paka, Tengku Hamzah Tengku Draman turut turun padang ke lokasi membuat tinjauan dan pemantauan serta memberi jaminan akan membantu bagi memudahkan urusan kerja baik pulih mendapan yang berlaku.

“Kita akan bawa masalah ini ke dalam mesyuarat untuk dibincangkan dengan unit bencana.

“Kita akan kaji dan lihat pendekatan terbaik untuk membantu menyelesaikan masalah ini dan perkara ini harus diberi perhatian kerana melibatkan aspek keselamatan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MACHANG - “Makcik ingatkan peralatan elektrik meletup,” cerita mangsa, Sik Mek Siok, 74, di Kampung Temangan, semalam.
  • SEREMBAN - Kerja baik pulih runtuhan cerun dengan membina tembok konkrit penahan tebing sepanjang 300 meter di Taman Bukti, Ampangan disini, akan dilakukan segera bagi mengelak kejadian tanah runtuh lebih besar.