MARANG - Tumbuhan herba adalah sebahagian daripada warisan Melayu kerana khasiatnya dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit sejak zaman berzaman.

Pengusaha nurseri dan tanaman herba, Osman Jabar, 52, berkata, daun belalai gajah misalnya, telah lama dikenal pasti mempunyai antioksidan yang tinggi untuk mengatasi sel kanser.

Menurutnya, tanaman itu dipercayai dapat mengekalkan sel sihat dalam tubuh manusia, malah khasiat daun itu yang boleh dimakan begitu sahaja, mampu membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan dalaman.

“Antara lainnya seperti kanser, buah pinggang, radang prostat, kolesterol, tekanan darah tinggi, asid urik tinggi, diabetes,  salur darah tersumbat dan toksin dalam badan, di samping mengurangkan keletihan.

“Herba ini turut dikenali sebagai Clinacanthus Nutans yang merupakan tanaman tergolong dalam keluarga Acanthaceae,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Osja Enterprise (Nurseri) di Rhu Rendang, di sini, semalam.

Osman yang merupakan bekas Ketua Jabatan Landskap Majlis Perbandaran Temerloh berkata, kajian pakar juga mendapati daun tanaman itu mengandungi vitamin, asid amino dan pelbagai mineral diperlukan tubuh badan.

“Saya terpanggil untuk berkongsi maklumat ini kerana trend masyarakat moden hari ini dilihat bergantung sepenuhnya kepada perubatan klinikal, menyebabkan generasi muda tidak lagi menghargai khasiat tumbuhan herba sebagai salah satu sumber rawatan,” katanya.